Home Dunia Kebakaran hutan: Ribuan penduduk bandar Costa del Sol dipindahkan

Kebakaran hutan: Ribuan penduduk bandar Costa del Sol dipindahkan

Kebakaran hutan semakin meluas berhampiran bandar di Costa del Sol, Sepanyol pada September 2021. Foto news.sky

MADRID – Kira-kira 2,000 penduduk telah meninggalkan kediaman masing-masing di Andalusia susulan kebakaran berlaku secara meluas di wilayah selatan Sepanyol itu.

Seorang petugas kecemasan telah terbunuh dalam kebakaran yang bermula pada hari Rabu di tanah tinggi di bandar peranginan terkenal Estepona di Costa del Sol.

Kerajaan Sepanyol telah mengerahkan sebuah unit tentera untuk membantu anggota bomba memadan kebakaran di kawasan pergunungan.

Enam lagi bandar dan kampung dipindahkan pada hari Ahad.

Asap tebal masih dapat dilihat dari jarak beberapa batu di situ.

Penduduk lima komuniti lain diberitahu untuk meninggalkan kediaman mereka pada hari Jumaat lalu.

Kebakaran itu telah memusnahkan sekitar 7,400 hektar (18,200 ekar) kawasan , menurut media Sepanyol.

Agensi pemadam kebakaran hutan Andalusia berkata, ratusan anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran, disokong dengan 41 pesawat dan 25 kenderaan.

Juan Sanchez, seorang pegawai kanan perkhidmatan kebakaran wilayah ini menggambarkannya kebakaran yang sedang berlaku ini “paling kompleks” yang pernah terjadi di negara ini.

“Ini tidak berperikemanusiaan, (kebakaran) tidak pernah berlaku yang seperti ini. Asap merentasi kawasan kebakaran di sepanjang gunung,” kata Adriana Iacob, seorang penduduk yang diselamatkan.

Sementara itu, Pepa Rubio, seorang penduduk berkata, sejak kebakaran bermula, mereka tidak tidur berhari-hari.

”Sangat mengerikan,” katanya.

Negara Eropah telah menyaksikan sejumlah kebakaran sepanjang musim panas ini. – BBC