![Embayu @ Damansara West](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2021/09/Embayu-@-Damansara-West-640x640.png)
KUALA LUMPUR – PRG Holdings Berhad (PRG) akan melancarkan menara terakhir pembangunan hartanah mampu milik, Embayu @ Damansara West dalam tempoh dua bulan akan datang.
Pelancaran ini dibuat selepas Menara A dan B projek sulung Embayu @ Damansara West itu mendapat tempahan 80 peratus untuk Menara A dan B.
Embayu adalah kediaman yang diilham berasaskan alam semulajadi dengan pelbagai kemudahan yang menggalakkan kesejahteraan keluarga dan berpotensi menjana pulangan pelaburan.
Kondominium bertemakan resort ini terletak di kawasan seluas 6.5 ekar, menawarkan 650 unit kediaman dengan harga bermula RM450,000 untuk daripada 1,000 kaki persegi dan seterusnya.
Nilai pembangunan kasarnya adalah RM267 juta.
Nama Embayu berasal dari dua perkataan Melayu, iaitu "Embun" dan "Bayu". Gabungan kedua-dua perkataan tersebut mengetengahkan konsep pembangunan yang penuh berasaskan alam, termasuk lanskap berpusat yang hijau seluas 44,000 kaki persegi yang memberi peluang kepada penduduk untuk dekat dengan alam semula jadi di sekitar kediaman mereka.
Pengarah Urusan Hartanah dan Pembinaan PRG, Datuk Alex Wee Cheng Kwan berkata, walaupun penularan pandemik belum berakhir, namun pelanggan sangat menantikan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti matang di Damansara West, yang mana pastinya merupakan kawasan pertumbuhan yang menarik selepas kawasan perbandaran Kota Damansara dan Ara Damansara.
”Dengan mengambil kira sambutan memberangsangkan dalam projek ini, kami menjangka dapat mencapai tahap tempahan 100% untuk Embayu @ Damansara West sebelum tarikh penyiapannya yang disasarkan pada Disember 2022,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dari segi fasiliti dan jalinan infrastruktur, kawasan ini dihubungkan dengan lebuh raya utama seperti DASH, Lebuhraya GCE Guthrie, NKVE dan Lebuhraya Persekutuan.
Selain berhampiran dengan Kota Damansara dan Ara Damansara, Embayu juga berdekatan dengan Shah Alam, persimpangan Subang 2 DASH, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, dan dikelilingi oleh kemudahan yang matang. – MalaysiaGazette