KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu yang berakhir pada 10 September, yang menyaksikan aliran masuk bersih berjumlah RM433.16 juta.
Ini merupakan minggu pembelian minggu kelima berturut-turut oleh pelabur asing.
MIDF Research berkata, ketika pasaran dibuka semula pada hari Isnin lalu, pelabur asing adalah pembeli bersih berjumlah RM72.18 juta.
Pelabur runcit juga melakukan belian bersih sebanyak RM11.10 juta manakala pelabur institusi tempatan menjual RM83.28 juta.
”Pelabur asing adalah pembeli bersih setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Khamis. Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Rabu dengan aliran masuk terkecil pada hari Isnin masing-masing kepada RM207.19 juta dan RM72.18 juta,” katanya.
Firma penyelidikan ini menambah, pelabur asing melakukan jualan bersih pada hari Khamis berjumlah RM62.95 juta.
Bagi pelabur runcit, mereka adalah pembeli bersih setiap hari dengan belian terbesar pada hari Khamis dan pembelian bersih terkecil pada hari Isnin masing-masing berjumlah RM129.62 juta dan RM11.10 juta.
Secara kumulatif, untuk minggu ini peruncit bersih membeli ekuiti bernilai RM278.59 juta di Bursa Malaysia.
Sementara itu, pelabur institusi pula mencatatkan jualan kumulatif bersih mingguan RM711.96 juta.
MIDF Research menambah, institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu dengan jualan bersih terbesar pada hari Rabu iaitu RM243.26 juta, sementara yang terendahpada hari Khamis RM66.88 juta.
Sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti dengan nilai RM9.83 bilion.
Pelabr institusi tempatan dan pelabur asing pula penjual bersih masing-masing sebanyak RM6.04 bilion dan RM3.79 bilion.
Tambahnya, pelabur asing secara beransur-ansur mengurangkan pelupusan ekuiti daripada RM6.01 bilion hingga 9 Ogos 2021.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing 2.49%, -1.15% dan -29.79% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette