Home Nasional Penduduk Taman Berkeley bakal hilang padang bola

Penduduk Taman Berkeley bakal hilang padang bola

Kawasan padang yang dibantah oleh penduduk taman untuk membuat pembinaan 100 parking kereta dan gelanggang futsal ketika di Taman Berkeley, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2021.

KLANG – Perikatan Nasional (PN) Parlimen Klang bersama lebih 300 penduduk Taman Berkeley di sini membantah hasrat Majlis Perbandaran Klang (MPK) membangunkan padang bola dan taman rekreasi sebagai kawasan komersil.

Penyelarasnya, Nallan Dhanabalan mendakwa, sekiranya perkara itu berlaku, penduduk setempat akan kehilangan tempat beriadah khususnya warga emas untuk bersenam dan berjoging.

“Kalau kita ada tempat hijau (padang), kemudian nak buat pembangunan, tidak adil buat penduduk, macam mana Klang nak capai status bandar hijau.

“Cadangan ini bertentangan dengan Draf Rancangan Tempatan MPK 2035 tapak tersebut sebagai kawasan tanah lapang dan rekreasi dengan status guna tanah utama membenarkan pembangunan berkaitan sukan dan rekreasi,”

“Pembangunan kawasan hijau ini boleh mengubah gaya hidup sihat penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Hadir sama Penyelaras PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang, Datuk Tan Seng Huat.

Nallan Dhanabalan

Pada 30 Julai 2021, MPK mengeluarkan surat pekeliling bertajuk Kajian Untuk Mendapatkan Pandangan Penduduk Bagi Cadangan Pindaan Padang Bola Sepak Sedia Ada Kepada Gelanggang Futsal dan Tempat Letak Kereta di atas tanah Lot 41252, Lebuh Bangau, Taman Berkeley, Mukim Kapar, di sini.

Pembangunan tanah itu membabitkan tanah bola sepak berkeluasan 2.37 ekar yang mana gelanggang futsal berukuran 600 meter persegi dan 100 petak parkir kenderaan.

Nallan juga melahirkan rasa kesal apabila MPK hanya memberi tempoh tiga hari sahaja kepada kepada penduduk terbabit untuk memberi maklum balas, sedangkan ketika itu Selangor masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

“Sebelum ini surat bantahan itu telah diedarkan, tapi saya risau MPK hanya edar sekitar premis komersil sahaja, tidak sampai kepada setiap penduduk perumahan.

“Pekeliling itu diberi tiga hari untuk respons, bayangkan kita nak berurusan dengan pejabat kerajaan ketika pandemik ini agar susah, semua kerja dari rumah.

“Kalau rakyat biasa macam mana mereka berurusan dengan pegawai kerajaan, saya sendiri cuba hubungi mereka beberapa kali, tiada orang yang jawab,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi akan jaminan menghantar surat bantahan itu kepada Yang DiPertua MPK sebelum dibawa kepada Menteri Besar Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam masa terdekat.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kena bertanggungjawab dan peka terhadap 900 penduduk dalam kawasan ini.

“Saya akan dapatkan temu janji dengan YDP MPK dan suarakan isu ini, malah surat yang sama saya akan sampaikan kepada menteri besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette