TIDAK lama lagi Rancang Malaysia Ke-12 (RMK12) akan dibentangkan di Parlimen. Jadi, bermulalah suatu era baharu yang mempamerkan perancangan konstruktif yang menguji cabaran menghadapi era pandemik yang rumit.
Antara cabaran ini termasuklah Dasar Sosial yang harus diteliti selaras dengan pendekatan kebersamaan yang diwarwarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon baru-baru ini.
Sehubungan itu, pada penelitian saya, dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) harus diteliti semula supaya ia masih relevan dengan cabaran kerajaan menghadapi isu pendemik yang mengancam sosioekonomi negara.
Dalam hal ini, sasaran untuk meneruskan pencapaian WKB2030 ini haruslah bergantung kepada beberapa perkara yang mendorong kepada pencapaian dasar tersebut seperti memastikan penjanaan pendekatan-pendekatan berstrategik yang dapat membantu mengurangkan jurang pendapatan rakyat yang terjejas akibat pendemik ini dengan memberi penekanan terhadap pemulihan sektor ekonomi dan industri supaya lebih banyak ruang pekerjaan dapat ditawarkan semua kepada rakyat.
Pada masa sama, ia wajar memberikan lebih banyak ruang untuk sektor ekonomi mengembang dengan merancakkan lebih banyak rangsangan ekonomi domestik yang menjadi tunjang kepada pendapatan kerajaan semasa menghadapi pendemik ini.
Selain itu, ia perlu mengurangkan kerenah birokrasi pengurusan dalam pengagihan dana dalam semua sektor bagi membolehkan pengagihan dana dapat diselaraskan dengan mekanisme yang tepat dan berkesan supaya tiada sasaran penerima dana akan tercicir.
Paling penting, dasar itu harus menggalakkan lebih banyak ruang ekonomi baharu wujud berasaskan teknologi digital bagi meningkatkan rangsangan inovasi pemasaran dan pelaburan yang baharu dan efektif,seterusnya merangsang lebih banyak ruang pekerjaan baharu berasaskan kepada teknologi digital yang boleh diterokai oleh lebih banyak orang.
Akhirnya, dasar itu membangunkan mekanisme sistem sosial berteraskan kepada kurang kebergantungan rakyat terhadap kerajaan dan persekitaran mereka, melalui rangsangan sosial yang boleh menjelmakan penjanaan sumber kendiri (independensi) yang mana rakyat akan memanfaatkan perolehan sumber secara optimum.
Ia boleh menggunakan teknologi yang murah tetapi dapat menjana pekerjaan dengan pantas dan memperoleh pendapatan yang lebih memberi manfaat terhadap sosioekonomi mereka supaya mereka lebih bersedia pada masa hadapan untuk memelihara kehidupan mereka sekalipun mereka akan berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran akan datang.
Dalam hal ini, mekanisme rangsangan peningkatan nilai tabungan rakyat harus dilaksanakan bagi membantu rakyat meneruskan kehidupan mereka lebih baik pada masa hadapan kelak.
Mekanisme ini bukan sahaja dapat mengurangkan bebanan rakyat tetapi ia juga dapat meningkatkan kematangan rakyat untuk membuat persediaan menghadapi cabaran akan datang.
Dr. Syed Agil Syed Alsagoff adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia merangkap penganalisis politik.