GEORGE TOWN – Tindakan orang awam memaklumkan kepulan asap dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nibong di Jalan Sultan Azlan Shah di sini berjaya menyelamatkan bangunan itu daripada musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran hari ini.
Kejadian jam 1.50 tengah hari itu disedari seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Fitri, 30, sebelum memaklumkannya kepada pengawal keselamatan bertugas.
Menurut Fitri, dia melalui jalan tersebut untuk ke tempat kerja sebelum ternampak kepulan asap pada bahagian belakang bangunan berkenaan.
“Mula saya ingatkan ada kerja-kerja pembersihan memandangkan sekolah akan dibuka tetapi bila lihat kepulan asap itu tebal membuatkan saya nekad memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 tengah hari sebelum sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kita dapati api telah menyambar bahagian siling bilik guru di tingkat satu bangunan tersebut dan operasi pemadaman api dilakukan dengan bantuan 40 anggota bomba.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh lima minit dan kebakaran dipadam sepenuhnya 15 minit kemudian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Azrul Khairi, hasil siasatan awal mendapati terdapat enam guru di sekolah berkenaan ketika kejadian namun kesemua mereka berada di kelas Tahun 3.
“Siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti punca termasuk sama ada wujud pergerakkan guru-guru berkenaan ke bilik guru sebelum kejadian.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” kata beliau. – MalaysiaGazette