KUALA LUMPUR – Berbudi pada tanah pasti ada hasilnya.
Itu lah yang dilakukan Syed Azwan Syed Omar, 33, yang berjaya memanfaatkan ruangan tanah di tepi rumahnya di Ipoh, Perak dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran serta buah-buahan.
Menurut penolong juru ukur bahan itu, asalnya aktiviti bercucuk tanam itu hanya sekadar hobi untuk mengisi masa lapang sebelum dia benar-benar serius untuk mengusahakan ‘edible garden’ itu pada tahun 2019.
Lebih menarik, Syed Azwan turut aktif berkongsi gambar serta video-video ringkas mengenai perkembangan kebunnya dan tips bercucuk tanam bersama pengikut di laman Instagram, kebone.wan.
“Saya mula menanam sekitar tahun 2018 bersama isteri apabila mula menyewa rumah yang kami duduki sekarang iaitu jenis teres dengan ‘corner lot‘ dan pada ketika itu, tanaman hanya secara ringkas.
“Asalnya saya bermula dengan sekadar hobi agar ruang tanah yang ada ini dimanfaatkan daripada terbiar dipenuhi dengan rumput dan lalang.
“Alhamdulillah, pada tahun 2019 selepas membeli rumah ini, saya mula mencorak langkah untuk memperkemaskan lagi ruang tanah di tepi rumah ini. Disebabkan sudah mula seronok bercucuk tanam dan pada masa sama suka pada landskap, saya terus memilih landskap berkonsepkan ‘edible garden’,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Bercerita lanjut, Syed Azwan berkata, antara tanaman yang konsisten di tanam olehnya di atas tanah berkeluasan kira-kira 140 meter persegi itu seperti sawi, kangkung, bayam, kobis, terung, tomato, timun dan cili.
Katanya, terdapat juga tanaman lain seperti buah rockmelon, tembikai, pokok tin, jagung serta lain-lain tanaman yang dilakukan secara bergilir.
“Di kebun ini juga terdapat sistem aquaponik di mana saya menternak ikan talapia merah dalam tangki dengan jumlah ikan sekitar 120 ekor,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Azwan juga berkongsi bahawa dia bersama isteri sudah jarang membeli sayur-sayur di pasar berikutan tanamannya membuahkan hasil dengan begitu memberangsangkan.
Jelasnya lagi, walaupun bukan menuntut dalam bidang pertanian namun dia begitu tertarik untuk mempelajari ilmu tersebut.
“Bagi saya menanam ini senang dan semua orang boleh menanam, asalkan kita tahu sedikit ilmu dan teknik menanam.
“Saya sendiri bukan dari bidang pertanian tetapi disebabkan mula tertarik dengan pertanian ini saya mula belajar dan mengkaji dari buku, jurnal dan paling banyak membantu seperti kumpulan-kumpulan pertanian di Facebook dan video di Youtube.
“Asalnya saya sendiri hampir nak berhenti bercucuk tanam disebabkan sayur yang ditanam tak menjadi, bagi saya cuaca bukan satu masalah jika tidak, tiadalah kebun kebun sayur yang banyak di negara kita.
“Apa yang lebih menggembirakan apabila saya sendiri sudah jarang sekali membeli sayur di luar, hanya beli sayur tertentu yang saya sendiri tidak dapat tanam dikebun,” katanya.
Ketika ditanya sama ada ‘edible garden’ itu memerlukan kos yang tinggi untuk diusahakan, Syed Azwan berkata, kebanyakan bahan atau peralatan yang digunakan adalah berkonsep ‘do it yourself’ atau DIY.
Kongsi Syed Azwan lagi, sehingga kini dia sudah mengeluarkan belanja sekitar RM5,000 untuk mengusahakan kebunnya itu.
“Sebabkan segala di kebun ini saya buat secara DIY, anggaran secara runcit saya belanjakan sekitar RM5,000.
“Alhamdulillah kelengkapan dan perabot yang ada di kebun ini juga saya dapat hasil dari memenangi pertandingan kebun yang dianjurkan pihak kerajaan dan swasta yang mana saya laburkan semula kepada kebun ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette