KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa dan dituntut mengkaji semula dan menarik balik pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mana-mana program atau institusi yang melibatkan perjawatan terutama di dalam sektor pendidikan.
Ini termasuk dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Pertubuhan Pendokong Dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) yang memandang serius perkara itu berkata, biarpun usaha mengiktiraf UEC sudah dimulakan sejak 2011, namunĀ menggesa dan menuntut kerajaan mengkaji semula dan menarik balik pengiktirafan UEC bagi mana-mana program atau institusi yang melibatkan perjawatan terutama di dalam sektor pendidikan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Syakir Norazli berkata, mengiktiraf persijilan asing ibarat menghina dan meludah dasar pendidikan kebangsaan yang sedia ada sekaligus menambah luaskan lagi jurang perpaduan antara kaum dan melemahkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.
“Pengiktirafan UEC ini juga bakal mengganggu-gugat persijilan pendidikan negara yang sedia ada, sekaligus menjatuhkan martabat persijilan, peperiksaan, penilaian yang telah digunapakai di dalam usaha usaha Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dirangka oleh tokoh pendidik yang telah lalu,” katanya dalam kenyatana di sini.
Oleh yang demikian, Geng Ustaz bertegas supaya kerajaan sedia ada perlu berusaha secepat mungkin menangani isu ini dengan tuntas dan bijaksana serta memulakan langkah langkah yang sesuai untuk menarik balik pengiktirafan sedia ada.
Tegasnya, pengiktirafan UEC dalam negara ini tidak lain hanya bakal mengundang malapetaka berantai ibarat bom jangka yang sudah mula mengira detik sebelum letupan dan kerosakan tercetus. – MalaysiaGazette