Home Utama Kemasukan IPT secara fizikal bermula 15 Oktober ini

Kemasukan IPT secara fizikal bermula 15 Oktober ini

Noraini Ahmad Higher Education IPT IPTS IPTA back to campus
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kemasukan pelajar intsitut pengajian tinggi (IPT) secara fizikal ke kampus secara berperingkat-peringkat bermula 15 Oktober ini melibatkan semua kategori pelajar yang lengkap divaksin dan melepasi tempoh keberkesanan vaksin.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata, perkara ini tertakluk kepada kapasiti IPT, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membentuk persekitaran yang selamat dan imuniti berkelompok di kampus.

Katanya, kemasukan pelajar IPT ini dilaksanakan mengikut kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara, di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan.

“Kemasukan semula penuntut yang telah lengkap divaksin ke IPT ini membabitkan semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira input sesi libat urus bersama MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM), pengurusan IPT meliputi Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan wakil persatuan IPT swasta (IPTS), serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan wakil kesatuan/persatuan pelajar.

“Proses kemasukan pelajar akan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT.

“Keberadaan warga IPT sudah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat dan mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN dalam kampus. Justeru, SOP ketat perlu diamal dalam menguruskan pergerakan keluar dan masuk,” katanya pada sidang media Pengumuman Pengoperasian IPT secara maya, hari ini.

KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh mendapat vaksin dan berdaftar dengan mySejahtera akan menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober 2021.

Sehingga kini, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin.

”Oleh itu, saya menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin, untuk segera berbuat demikian. Bagi tujuan ini, warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin. Pelajar dan kakitangan IPT hanya perlu bawa kad pelajar/kad pekerja dan kad pengenalan/passport.

”Bagi pelajar baharu, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT berserta dengan kad pengenalan/passport,” tambah beliau.

Menurutnya, kemasukan pelajar ini juga mengikut kalendar akademik IPT masing-masing, justeru, IPT perlu membuat perancangan yang teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan, dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan yang ketat.

Mengulas mengenai pergerakan pelajar kembali ke kampus, Noraini berkata, bagi IPT di Semenanjung, hanya surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan dan IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan, adalah tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri masing-masing.

Tambah beliau, pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada Polis Diraja Malaysia dan menjalani Ujian Swab RT-PCR dan ujian ini akan diberikan secara percuma di klini-kklinik kesihatan kerajaan.

Untuk kemasukan pelajar antarabangsa pula, kebenaran masuk ke Malaysia diberikan kepada pelajar warganegara United Kingdom yang
sebelum ini kemasukannya disekat, pelajar antarabangsa yang mengikuti program-program mobiliti dan edutourism dan tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini.

“Bagi pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

”Ujian Swab RT-PCR COVID-19 perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia. Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan,” ujar beliau.

Menurut beliau, proses PdP akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP yang telah diluluskan oleh MKN.

Bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing.
Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang
ditetapkan.

Beliau turut mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di Universiti Awam (UA) bagi Semester 1 Sesi 2021/2022, yang bakal memanfaatkan seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan RM175 juta. – MalaysiaGazette