GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar untuk memacu perancangan pembangunan semula setanding negara-negara maju.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata, cadangan itu sudah disampaikan sendiri pihaknya kepada Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu perjumpaan khas semalam.
Jelas beliau, penggubalan akta itu juga dapat mewujudkan ekosistem yang holistik dan kondusif melibatkan aspek perumahan.
“Akta pembaharuan tersebut telah digunapakai negara-negara maju seperti Singapura, Australia dan Hong Kong dan kita mahu ia diperuntukan di negara ini agar pembaharuan semula dapat dilakukan ke atas beberapa projek yang dikenal pasti.
“Kita amat berpuas hati dan gembira kerana cadangan yang dikemukakan itu diterima beliau (Reezal Merican) selain memaklumkan pihak KPKT akan mengkaji cadangan tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah Jagdeep, selain cadangan penggubalan akta itu, pihaknya itu membincangkan cara menangani keresahan rakyat dalam menangani kesan pandemik Covid-19 khusus dalam skop perumahan dan kerajaan tempatan.
Kata beliau, antara yang dibincangkan ialah keperluan pembinaan lebih banyak Rumah Mampu Milik di Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam Agenda Penang2030 telah menetapkan penyediaan Rumah Mampu Milik sebanyak 220,000 unit dan terkini sebanyak 38,149 telah siap dibina manakala 18,519 dalam peringkat pembinaan.
“Selain itu, kita turut menyatakan keperluan lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau unit sewa dimana setakat ini hanya 999 unit sahaja diterima.
“Kita sedia untuk mengenalpasti tapak yang berpotensi dan bersesuaian untuk pembangunan PPR dan bekerjasama dengan konsep baru perumahan sewa ini,” kata Jagdeep.
Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, bantuan peruntukan melibatkan penyelenggaran berstrata kepada negeri Pulau Pinang turut dimohon.
“Sehingga Ogos 2021, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM281.77 juta bagi semua penyelenggaraan perumahan awam dan swasta yang layak di seluruh negeri Pulau Pinang,” kata beliau. – MalaysiaGazette