Home Nasional KPM perlu teliti semula sistem penggiliran

KPM perlu teliti semula sistem penggiliran

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Isu guru yang tidak mahu divaksin dan sistem penggiliran murid-murid ke sekolah perlu diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan pantas sebelum sesi persekolahan dibuka secara berperingkat-peringkat mulai 3 Oktober ini.

Meskipun jumlah guru yang enggan divaksin mungkin tidak banyak tetapi kumpulan kecil ini mungkin memberi risiko khususnya kepada murid-murid kecil.

Oleh itu, Pesiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan mahu KPM menghalusi perkara ini dan mencari pendekatan terbaik untuk menangani isu ini.

Apatah lagi, KPM sebelum ini memaklumkan guru-guru yang enggan divaksin akan diberi tugas-tugas pentadbiran, maka kumpulan guru-guru berkenaan masih berada dalam persekitaran sekolah.

Mohamad Ali Hasan.

“Ini bermakna mereka enggan divaksin tapi masih tetap datang sekolah.

“Sudah tentu sebagai ibu bapa bimbang akan risiko yang dibawa golongan ini kepada murid-murid yang masih kecil,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ini belum timbul soal kecukupan tenaga guru di sekolah untuk menampung guru-guru yang enggan divaksin kerana mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

“Tidakkah ini akan memberi beban kepada guru-guru yang sudah divaksin? Soalan seterusnya, adakah setiap sekolah mencukupi untuk guru ganti?,” tanya beliau lagi.

Mohamad Ali juga mempersoalkan kaedah penggiliran pelajar ke sekolah yang tentunya akan memberi beban kepada guru-guru kerana melakukan dua kali tugas.

Selain itu, timbul juga persoalan sama ada dengan kaedah yang diumumkan ini, sekolah dapat menampung kehadiran 50 peratus pelajar serta dapat mengawal pelaksanaan prosedur operasi standard dengan baik atau sebaliknya.

“Saya harap KPM masih sempat meneliti, menghalusi dan melihat semula perkara-perkara yang menjadi kebimbangan ibu bapa ini sebelum sesi persekolahan dibuka bulan depan,” ujarnya.

Dalam pengumuman baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan, bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

Katanya, langkah itu juga bagi pengawalan murid dan guru akan memastikan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Dengan penggiliran itu, murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette