Home Nasional Najib dan anaknya kemuka rayuan batal keputusan Mahkamah Tinggi

Najib dan anaknya kemuka rayuan batal keputusan Mahkamah Tinggi

SRC International Sdn Bhd Appeal verdict guilty Najib Razak IRB Inland Revenue Board tax arrears bankruptcy SRC International appeal verdict guilty
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah membuat permohonan rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tuntutan saman cukai yang dibuat ke atasnya.

Selain Najib, anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin juga mengemukakan rayuan sama kepada Mahkamah Persekutuan melalui sistem e-filing dalam talian.

Bercakap dengan media pagi ini, peguam yang mewakili mereka, Muhammad Farhan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, permohonan e-filing itu telah dibuat malam tadi.

“Ketika ini pasukan peguam yang berkaitan sedang selesaikan permohonan untuk Mahkamah Rayuan menangguhkan penghakiman ringkas, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Pada Khamis lepas, Mahkamah Rayuan di sini hari menolak permohonan Najib dan Mohd Nazifuddin untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan beliau membuat pembayaran RM1.69 bilion tertunggak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman ringkas telah bertindak menolak permohonan mereka yang masing-masing bernilai RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Untuk makluman undang-undang sivil mahkamah dibenarkan membuat penghakiman ringkasan bagi sesuatu memutuskan hal perundangan tanpa menjalani persidangan penuh.

LHDN ketika ini sedang menunggu proses kemuflisan ke atas Najib dan Nazifuddin dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur namun bergantung kepada ringkasan keputusan berkenaan untuk proses tersebut.

Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

Pada 4 Februari lalu kerajaan melalui LHDN memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Jun Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN. -MalaysiaGazette