Home Pendapat Polemik RUU Kawalan Sekatan dan Pengembangan Agama

Polemik RUU Kawalan Sekatan dan Pengembangan Agama

POLEMIK yang dibangkitkan beberapa pihak terhadap Rang Undang-Undang Kawalan Sekatan dan Pengembangan Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam Wilayah Persekutuan (RUU Kawalan tersebut) sebenarnya menyerlahkan kegagalan pihak tersebut memahami kerangka asas Perlembagaan negara.

Berdasarkan pemelitian terhadap bantahan yang dibuat kita akan dapati terdapat antara
mereka yang tidak pun mengetahui punca kuasa asal RUU Kawalan tersebut diwujudkan hinggakan mereka yang tidak ada kena mengena dengan Wilayah Persekutuan, tempat yang mana RUU itu akan dikuatkuasakan pun ikut sama membantahnya. Ironinya, ada pula ahli politik yang menyatakan RUU Kawalan tersebut tidak berperlembagaan sedangkan set perundangan yang sama telah wujud lama di dalam negeri dimana beliau kini menjadi ahli exconya.

Mereka yang membantah RUU Kawalan tersebut tanpa disedari telah membantah Perkara 11(4) sedia ada Perlembagaan Persekutuan yang mana terdapat punca kuasa bagi kerajaan persekutuan menggubal suatu perundangan untuk menghalang indoktrinasi agama bukan Islam kepada orang Islam khusus di Wilayah Persekutuan yang telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Akta 206 Jadual (Seksyen 11) yang berkuatkuasa sejak 1.2.1974 dimana sebelum itu hanya negeri-negeri dibenarkan menggubalnya.

Intipati RUU kawalan tersebut bukanlah asing untuk negara kita kerana perundangan yang hampir serupa telah dikuatkuasakan sejak 41 tahun lalu bermula di Terengganu dan terakhir pada tahun 2014 di Perlis. Hanya Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang yang belum melaksanakan perundangan tersebut. Sejak berkuatkuasanya enakmen tersebut di 10 buah negeri, tiada seorang pun orang bukan Islam terhalang dari mengamalkan ritual agama mereka asalkan ianya berada dalam norma yang diterima rakyat Malaysia.

RUU Kawalan tersebut tidak dalam apa jua sekali pun menghalang kebebasan orang bukan Islam mengamalkan ajaran agama mereka tetapi apa yang ditekankan dalam RUU Kawalan tersebut adalah had batasan orang bukan Islam untuk tidak dalam apa jua keadaan mendakyahkan agama mereka kepada umat Islam dan kalimah tertentu yang menjadi hak milik ekslusif agama Islam berdasarkan status agama Islam sebagai agama negara.

Maknanya, hanya mereka yang mempunyai niat serong untuk memurtadkan umat Islam sepatutnya terganggu dengan RUU Kawalan tersebut. Jika mereka tiada niat tersebut, silakan untuk mengamalkan ajaran agama bukan Islam dilingkungan pengganut agama mereka tanpa bimbang, siang dan malam. Sementara Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak semua warganegara untuk mengamalkan ajaran agama mereka ianya tidaklah bermakna kebebasan itu tidak terbatas. Peruntukan itu perlulah dibaca secara bersama menggunakan kaedah “Harmonious Construction” dengan peruntukan lain yang mana jaminan kebebasan agama yang diberikan Perlembagaan itu pastinya tertakluk kepada sekatan yang digariskan Perkara 11(4) Perlembagaan.

Umat Islam dalam negara kita ini begitulah bertoleransi dalam menerima apa jua amalan agama lain asalkan ianya diamalkan dalam lingkungan masyarakat mereka tanpa menggangu gugat sempadan asal yang telah digariskan dalam negara ini. Sedar atau tidak peruntukan Perlembagaan berkaitan hak orang Melayu dan agama Islam sentiasa sahaja dituruti dengan pengecualian kaum lain untuk mengamalkan agama, budaya dan bahasa mereka sebagai manifestasi murahnya hati umat Islam terhadap kebebasan agama lain untuk hidup dengan iktikad mereka dalam negara ini.

Namun bagi mengiktiraf kedudukan agama Islam yang telah menjadi agama bagi negara kita sebelum kedatangan penjajah lagi maka Perlembagaan Persekutuan memberikan keistimewaan dalam beberapa aspek. Antaranya adalah dengan kewujudan enakmen-enakmen bagi melindungi agama Islam yang digubal di setiap negeri yang antara lain bertujuan untuk memastikan kesucian agama Islam terus dapat dilindungi bagi mendepani apa jua perubahan zaman. Oleh kerana namanya mungkin mengundang kegusaran orang bukan Islam adalah baik RUU Kawalan tersebut dinamakan RUU Perlindungan Agama Islam sahaja.

RUU Kawalan tersebut bukanlah suatu isu yang perlu diambil peluang oleh mana-mana ahli politik untuk menjadi jaguh partinya memandangkan ianya adalah sekadar manifestasi apa yang telah disediakan oleh peruntukan Perlembagaan dan bantahan
terhadapnya perlu dihentikan terlebih lagi ianya langsung tidak menjejaskan hak orang
bukan Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka.

 

Oleh: Nurul Syafawani Rahim
Peguam Syarie