Home Ekonomi Teknologi penting bagi pemulihan ekonomi – CEO Bursa

Teknologi penting bagi pemulihan ekonomi – CEO Bursa

Muhamad Umar Swift

KUALA LUMPUR – Inovasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan, terutama untuk perniagaan kecil, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhammad Umar Swift.

Berucap di majlis Dialog Sintok @ ECOFI 2021 anjuran Institut Kajian Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECoFI)  Universiti Utara Malaysia hari ini, beliau berkata teknologi dan ekonomi digital adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi negara.

Namun begitu, walaupun kepentingannya tidak dapat dinafikan, migrasi atau peralihan digital dalam kalangan perniagaan tempatan masih ketinggalan.

Dianggarkan hanya kira-kira satu pertiga perniagaan Malaysia yang telah melaksanakan strategi transformasi digital, dengan kurang daripada satu bagi setiap empat perniagaan memiliki pasukan strategi digital yang berdedikasi.

“Antara beberapa sebab utama penggunaan digitalisasi yang lebih perlahan dalam kalangan perniagaan mungkin terlalu bergantung kepada pekerja berkemahiran rendah; kekurangan kemudahan infrastruktur dan bakat untuk beralih ke operasi berasaskan teknologi; serta cabaran berterusan yang berkaitan dengan kemampuan dan kualiti akses internet jalur lebar tetap dan penyelesaian teknologi,” katanya.

Bagi mengatasi cabaran ini, Muhammad Umar berkata kerajaan telah melancarkan beberapa inisiatif sebagai langkah tindakan untuk mempromosikan digitalisasi perniagaan, termasuk Rangka Tindakan Ekonomi MyDigital yang diperkenalkan oleh Unit Perancang Ekonomi pada bulan Februari tahun ini.

Inisiatif seluruh negara itu menggariskan aspirasi kerajaan untuk berjaya mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang didorong oleh digital dan pemimpin serantau dalam ekonomi digital.

Rangka Tindakan itu mengunjurkan sumbangan 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025, dengan pelaburan bernilai RM70 bilion dan 500,000 pekerjaan diwujudkan dalam ekonomi digital.

Selain itu, Muhammad Umar turut berkata digitalisasi dan teknologi dapat meningkatkan penyertaan dengan membolehkan perusahaan dan pengusaha sedia ada memberikan perkhidmatan kepada pasaran yang kurang mendapatan layanan.

“Tambahan pula, syarikat yang menggunakan teknologi digital secara efektif dapat menyaksikan kos  yang lebih rendah dan peningkatan kecekapan, sekali gus mampu melonjakkan daya saing mereka.

“Perniagaan perlu mengambil peluang memanfaatkan pelbagai program sokongan sektor awam dan swasta untuk lebih cerdas dari segi teknologi dan bersaing dalam pasaran yang digerakkan atau berpusatkan teknologi hari ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette