KUANTAN – Tiga lokaliti di daerah ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan kesemuanya dalam keadaan terkawal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohamed Rizal Kamarudin berkata, lokasi terbaharu PKPD melibatkan Rancangan Rumah Murah (RRM) Kampung Kolek, Sungai Lembing berkuatkuasa 14 September lalu dan dijangka tamat 27 September ini.
Ia susulan seorang penduduk yang mempunyai gejala didapati positif dan membawa jangkitan kepada 37 orang sekali gus mewajarkan PKPD dilaksanakan bagi memutuskan rantaian pandemik di kawasan tersebut.
Mohamed Rizal berkata demikian ketika ditemui semasa taklimat kepada Pasukan Komuniti Prihatin Kampung Kolek di sini malam tadi.
Terdahulu dua lokasi di yang melibatkan lokaliti Penjara Penor dan Rumah Kongsi Pinggiran Goh dijadualkan tamat pada 17 September ini, namun bergantung kepada keputusan mesyuarat task force negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“PKPD di Kampung Kolek, Sungai Lembing dan pemantauan di sini melibatkan bantuan Komuniti Prihatin selain daripada pihak berkuasa.
“Mereka terdiri daripada penghulu, tok empat dan KRT bagi memberi penerangan, memantau keselamatan dan memberi bantuan kebajikan kepada masyarakat kampung.
“Keluasan terlibat dianggarkan 1.2 kilometer persegi melibatkan 1,000 penduduk dan lebih 100 kediaman dikenakan PKPD di mana 90 peratus penduduknya bekerja sendiri.
“Manakala dua lokasi PKPD di Penjara Penor dan Pinggiran Goh yang dijadualkan tamat pada 17 September ini akan bergantung kepada keputusan pengurusan jika perlu disambung,” katanya. -MalaysiaGazette