JOHOR BAHRU – Sebanyak 300,000 unit pelitup muka berkualiti tinggi serta anti bakteria jenama Livinguard disampaikan untuk kegunaan pelbagai pasukan barisan hadapan termasuk Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Manakala, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerima sumbangan bekalan peralatan serta perkakasan dialisis bagi pesakit yang menjalani rawatan Terapi Penggantian Renal Berterusan (CRRT) dan hemodialisis.
Sementara itu, 16,000 unit khemah kubik disampaikan kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Johor untuk kegunaan penduduk yang terjejas akibat bencana alam serta di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Bantuan itu merupakan usaha Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama secara berterusan bersama Yayasan Temasek dari Singapura kepada Kerajaan Negeri Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan kepada Sultan Johor dan Yayasan Temasek di atas sumbangan tersebut.
“Sumbangan yang diterima ini khususnya bekalan dan peralatan perubatan penting untuk mempertingkatkan keupayaan rawatan di hospital di negeri ini,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Istana Polo, Johor Bahru dengan keberangkatan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh, berkata, sumbangan secara berterusan yang diterima ini melambangkan kerjasama kukuh Sultan Johor bersama Kerajaan Singapura dan Yayasan Temasek.
“Hubungan Johor dan Singapura serta Yayasan Temasek terus terjalin kukuh hasil kerjasama erat Sultan Johor,” katanya.- MalaysiaGazette