Home Nasional Geran Khas RM1,000 untuk pelajar baharu KAYNS

Geran Khas RM1,000 untuk pelajar baharu KAYNS

Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Pelajar baharu yang menyertai institusi latihan kemahiran Kumpulan Akademi YNS (KAYNS) yang dimiliki sepenuhnya Yayasan Negeri Sembilan bakal menerima geran khas daripada kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, geran khas berupa bayaran wang tunai RM1,000 itu disediakan untuk pelajar yang baru mendaftarkan diri di KAYNS bermula 1 Ogos lalu.

“Justeru, sebagai insentif, Kerajaan Negeri sukacita memaklumkan inisiatif bagi semua pelajar baru dari kalangan anak-anak Negeri Sembilan yang mendaftar ke KAYNS mulai 1 Ogos 2021, akan dianugerahkan geran sebanyak RM1000 setiap seorang.

“Mereka juga akan diberi bantuan sara hidup sebanyak RM100 seorang untuk setiap bulan (bermula dari awal sehingga tamat pengajian mereka),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pembiayaan pengajian turut disediakan dalam bentuk, sama ada tajaan dan pinjaman kepada pelajar KAYNS.

Bagi anak-anak Negeri Sembilan, kerajaan negeri juga akan sediakan pinjaman pembiayaan sepenuhnya melalui Yayasan Negeri Sembilan.

“Bagi anak-anak daripada keluarga kumpulan Asnaf pula, tajaan sepenuhnya akan disediakan pula untuk mereka.

“Kampus baru sedang pesat dibina dan dijangka siap serta sedia digunakan mulai Februari 2022 dengan ruang kapasiti untuk pelajar baru akan bertambah, suasana belajar akan lebih kondusif dan iklim sekitar yang lebih selesa.

“Kualiti tenaga pengajarnya berterusan dipertingkatkan. Program-program yang bersifat futuristik akan diperkenalkan,” tegas beliau.

Menurut beliau, menyedari keperluan menyediakan anak-anak muda memperkasakan diri dengan bidang ilmu dan ketrampilan dalam pelbagai bidang kemahiran bersesuaian dengan era Revolusi Industri 4.0.

Kerajaan Negeri mempelawa anak-anak Negeri Sembilan melanjutkan pengajian mereka di Kumpulan Akademi YNS (KAYNS).

Institusi ini telah beroperasi sejak 22 Julai 1993, menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di peringkat Sijil dan Diploma di bawah pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Ribuan graduan institusi ini, telahpun mencapai kejayaan dan kecemerlangan tinggi dalam kerjaya masing-masing.- MalaysiaGazette