KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pusat gimnasium dan fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup (indoor) akan kembali dibenarkan beroperasi tidak lama lagi.
Menurut beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini telah menyampaikan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kita juga rasa kasihan kepada operator-operator fasiliti sukan dan juga penggemar pengguna gimnasium dan sebagainya.
“Kita sedang beurusan dengan KKM kita menyediakan cadangan untuk menyediakan SOP yang ketat bagi membolehkan fasiliti-fasiliti seperti ini dibuka.
“Saya percaya buat masa ini KKM sedang memperhalusi cadangan-cadangan yang buat dan insya Allah dalam masa terdekat dapat kita kembali membuka gimnasium dan sukan-sukan rekreasi seperti bowling dengan SOP dan masalah ventilasi (pengudaraan) yang perlu kita perbaiki,” katanya dalam Dewan Rakyat.
Terdahulu Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas) mahu KBS menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyegerakan pembukaan semula pusat gimnasium juga fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup yang lain.
Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mendakwa, semakin ramai pengusaha pusat gimnasium yang bakal gulung tikar jika industri tersebut tidak dibenarkan kembali beroperasi.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya perlu meneliti dan mengkaji beberapa aspek membabitkan aktiviti di pengoperasian gimnasium.
Katanya, antara aspek yang menjadi keutamaan adalah dari segi sistem pengudaraan kerana kebiasaanya gimnasium beroperasi di dalam premis tertutup yang boleh mendatangkan risiko jangkitan Covid-19.- MalaysiaGazette