Home Nasional KeTSA sumbang pelitup muka kepada pelajar sekolah

KeTSA sumbang pelitup muka kepada pelajar sekolah

Rakyat Malaysia diingatkan tidak melanggar SOP Kesihatan Awam melibatkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan betul. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan menyumbang sejumlah pelitup muka kepada seramai 88,787 pelajar Tingkatan 6 yang akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Oktober ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemberian pelitup muka itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM200,000.

Katanya, ia melibatkan kerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tumpuan sumbangan mensasarkan kepada pelajar daripada golongan B40 serta mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang berteraskan konsep Keluarga Malaysia.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga daripada golongan B40 dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Kerjasama para guru dan pengurusan sekolah sangat diharapkan agar dapat memantau dan memastikan semua pelajar sentiasa mematuhi SOP sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kesihatan pelajar terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sesi persekolahan secara fizikal akan bermula bulan depan dan akan dilaksanakan di negeri-negeri di bawah Fasa Ketiga dan Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kapasiti kehadiran murid 50 peratus bagi setiap sesi.

Bagi negeri-negeri di bawah Fasa Pertama dan Kedua PPN, pelajar akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kecuali bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan.

Untuk rekod, negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 PPN ialah Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. – MalaysiaGazette