PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini mengumumkan pakej baharu Internet dan peranti pintar mampu milik untuk membantu golongan remaja dan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.
Di bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia, ia menawarkan pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan hanya RM10 sebulan untuk 3 bulan (RM30), mereka akan mendapat data 20GB untuk tempoh tersebut.
Mereka turut diberikan data 1GB (Jumlah 90GB) secara percuma kepada remaja dan pelajar untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had.
“Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari Internet, manakala, bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data.
“Bagi data 20GB pula, ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti muat turun video ataupun permainan dalam talian dan hiburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annuar berkata, pihaknya telah menerima maklum balas daripada orang ramai yang mahukan akses kesalinghubungan lebih baik, harga mampu milik dan memastikan penyampaian lebih berkualiti lebih-lebih lagi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pakej Remaja ini memudahkan pelanggan remaja dan pelajar, yang kini tidak perlu lagi menambah nilai setiap bulan yang mana remaja dan pelajar di bawah umur 21 tahun hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar.
“Kerajaan berharap agar golongan ini dapat memanfaatkan kemudahan dan melancarkan pembelajaran serta urusan seharian mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pakej Peranti Keluarga Malaysia ditawarkan untuk pakej pemilikan alat peranti.
“Pakej Peranti Keluarga Malaysia akan membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma, yang mana peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan.
“Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti dan setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama,” tambah beliau.
Tempoh mendaftar untuk kedua-dua pakej tersebut adalah mulai 15 Oktober 2021- 15 April 2022 selama enam bulan. – MalaysiaGazette