Home Nasional KWP bakal rancakkan kembali River of Live – Shahidan

KWP bakal rancakkan kembali River of Live – Shahidan

Sebahagian pengunjung beriadah pada waktu malam di Jambatan River of Life, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bakal merancakkan kembali Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) dan Kolam Biru sebagai tarikan utama pelancongan di Ibu negara.

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah itu dibuat susulan peralihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor ke Fasa 2 Pelan Pulihan Negara (PPN), sejak Jumaat lalu.

“Ia membolehkan warga kota menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan-kawasan utama tumpuan orang ramai.

“Ini termasuklah kawasan kolam biru yang dihasilkan daripada RoL sejak 2011 sebagai pusat pelancongan dan destinasi utama aktiviti riadah warga kota,” katanya selepas melakukan lawatan kerjanya, di sini, hari ini.

Program transformasi Sungai Gombak dan Sungai Klang sepanjang 110 merupakan ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni disasarkan siap sepenuhnya pada 2024.

Komponen pengindahan meliputi pembinaan jambatan pejalan kaki yang dibina menghubungkan Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kolam Biru serta pembangunan semula Taman Tasik Titiwangsa siap sepenuhnya pada penghujung 2020.

Beliau berkata, RoL telah disenaraikan sebagai “World’s Ten Best* Waterfront District” dalam akhbar, Independent pada 2018, kini dalam fasa pembersihan sungai telah mencapai 92 peratus
daripada keseluruhan sasaran yang ditetapkan.

“Ini termasuk usaha-usaha membersihkan semula sungai dengan menaiktaraf sistem pembentungan, menambahkan perangkap sampah di sepanjang sungai dan memperkenalkan Interceptor System bagi meningkatkan kualiti air yang selamat untuk kegunaan rekreasi orang ramai,” katanya.

Menurutnya, RoL dijangka dapat merancakkan aktiviti perniagaan di sekitar kawasan projek khususnya Presint 7 sebagai daya tarikan baharu.

“Ini termasuk penyediaan 11 ruang niaga yang telah siap dan 43 lagi ruang niaga yang masih dalam pembinaan di pesisir projek RoL di bawah program Usahawan Anak Muda Kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim melakukan lawatan ke Projek River of Life dan Kolam Biru di Jambatan River of Life, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2021.

“Kualiti kehidupan, kesejahteraan dan kemajuan ekonomi kota adalah keutamaan kerajaan dalam menjadikan negara ini setanding dengan bandaraya utama dunia lain.

“Antaranya Melbourne, Seoul dan Singapura yang mempunyai waterfront ikonik dan menarik,” katanya.

Katanya lagi, pemeliharaan dan pemuliharaan fasiliti serta kebersihan sungai sekitar RoL menjadi tanggungjawab bersama.

“Setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kemudahan yang disediakan dan kebersihan sungai.

“Ia mengekalkan keindahan kawasan RoL dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang mempunyai mentaliti kelas pertama dan menjayakan matlamat My City My Home,” ujarnya. – MalaysiaGazette