Home Politik MoU rentas parti buka ruang kerajaan, pembangkang duduk semeja henti politiking –...

MoU rentas parti buka ruang kerajaan, pembangkang duduk semeja henti politiking – Syed Saddiq

MUDA Melaka state election wasted opportunity #KerajaanGagalLagi #KerajaanGagal2.0 #KabinetGagal2.0 UMNO Ismail Sabri Yaakob new cabinet Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui kerjasama memorandum persefahaman (MoU) rentas parti akan dapat menghentikan perebutan kuasa yang tidak sepatutnya berlaku pada waktu pandemik ini.

Jelas Pengasas Parti Muda itu, perjanjian tersebut memberi laluan untuk kerajaan dan pembangkang bekerjasama menangani,  sekali gus memulihkan ekonomi negara.

Perkara ini, katanya, hanya akan terlaksana dengan kerjasama dua hala di antara kerajaan dan parti pembangkang.

“Apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Ketereh (Tan Sri Annuar Musa) adalah titik persamaan dicapai, dalam masa yang sama pembangkang masih dapat mengutarakan pendapat. Kami sebagai pembangkang akan diteruskan tugas sebagai institusi semak imbang yang merupakan tanggungjawab hakiki kita (pembangkang.

“Dalam masa yang sama kalau ada dasar kita yang baik, kita sokong. Tidak akanlah kita mahu melalui undi percaya berkali-kali akhirnya meletakkan rakyat di belakang. Betullah apa yang dikatakan ini bukan bermaksud pembangkang menyertai kerajaan, tanggungjawab pembangkang tetap sama. Dalam masa yang sama kita dapat laksanakan reform,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjadi panelis dalam program SKOP MG bertajuk ‘Perjanjian Dwi Pertisan: Apa Kata Pemimpin Muda?’.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, dengan MoU ini pembangkang akan dapat mengutarakan pendapat dan tuntutan demi rakyat untuk dipertimbangkan seterusnya dilaksanakan mengikut kesesuaian.

Seorang lagi panelis ialah Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pinji, Howard Lee Chuan How.

Syed saddiq berkata, antara manfaat daripada MoU yang dimeterai baru-baru ini adalah proses pelaksanaan Undi 18.

“Yang penting ada permulaan yang baik di mana kerajaan bertekad untuk tidak merayu ke mahkamah rayuan berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memandatkan undi automatik selewatnya Disember ini.

“Sekaligus akan memberikan kuasa politik di tangan anak muda itu perkara baik. Kerajaan juga bertekad memastikan undi 18 dilakukan secepat mungin ini perkembangan yang baik,” menurutnya.

Terdahulu beliau berkata, usaha untuk memterai MoU ini merupakan idea yang telah dikemukakan pembangkang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Namun Syed Saddiq berkata, cadangan tersebut ditolak oleh bekas Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar tersebut mendedahkan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan perincian pertemuan tersebut, sebaliknya memberi jaminan akan memberikan khabar baik dalam masa yang terdekat. – MalaysiaGazette