PUTRAJAYA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar, dan merampas 50 unit sumbu badak bernilai RM30 juta selepas memeriksa sebuah lori di kawasan bulatan Masjid KLIA Sepang, 9 September lepas.
Perlihitan dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya turut merampas lori berkenaan serta dokumen berkaitan penyeludupan sumbu badak dalam Operasi Bersepadu Khazanah Zon Tengah itu.
“Berdasarkan rekod Perhilitan, kejayaan hasil rampasan kali ini adalah yang terbesar dalam tempoh lima tahun bagi sitaan sumbu badak,” menurut kenyataan itu.
Perhilitan berkata pemeriksaan analisis Deoxyribonucleic Acid (DNA) akan dilakukan terhadap 50 sumbu badak itu bagi mengenal pasti sumber asalnya sama ada daripada spesies badak tempatan atau luar negara.
“Setakat ini, sumbu badak ini disyaki diseludup dari luar negara,” kata Perhilitan.
Menurut Perhilitan, spesies-spesies badak serta bahagiannya adalah “dilindungi” dan “dilindungi sepenuhnya” di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan liar 2010 [Akta 716].
Ia juga disenaraikan di bawah Apendiks I dalam Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam [Akta 686] dan spesies-spesies itu tidak boleh diperdagangkan sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial.
Perhilitan berkata, kedua-dua lelaki itu akan disiasat di bawah Seksyen 68 Akta 716 iaitu menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut Perhilitan, terdapat lima kes berkaitan penyeludupan sumbu badak melibatkan 96 unit sumbu badak direkodkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. – Bernama