Home Ekonomi RM200.4j diluluskan bagi pembiayaan Agromakanan Penjana

RM200.4j diluluskan bagi pembiayaan Agromakanan Penjana

Khadijah Iskandar

 

KUALA LUMPUR – Sehingga 31 Julai 2021, Agrobank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM200.4 juta di bawah pembiayaan AgroMakanan Penjana yang melibatkan kira-kira lebih 16,000 usahawan daripada komuniti Agro.

Bantuan ini dibuat menerusi Dana Pembiyaan Mikro Kredit yang berjumlah RM350 juta menerusi pelan PENJANA kepada komuniti agro yang terjejas akibat Covid-19 yang disalurkan menerusi Agrobank pada Jun 2020.

Ia bagi menampung kos operasi perniagaan mereka dengan memberi peluang kepada usahawan mikro untuk mendapatkan modal pusingan bagi perniagaan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka tidak terputus.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, peruntukan ini telah disalurkan untuk membantu usahawan mikro yang terlibat dalam sektor agromakanan terutamanya komuniti agro di bawah kategori B40 yang terjejas kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

”Agrobank terus komited untuk menyokong pembangunan taraf sosio-ekonomi rakyat Malaysia, menerusi pelbagai inisiatif dan program keusahawanan yang dibangunkan khusus untuk memulihkan ekonomi dan perniagaan bagi golongan yang terkesan
sepanjang pandemik Covid-19,” katanya di sini.

Menurut beliau, sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian dan membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk komuniti yang terpinggir dan kurang mendapat liputan seperti golongan B40, wanita, orang kurang upaya dan asnaf, menerusi program-program pembangunan sosial yang dibentuk khas untuk memastikan nasib komuniti ini terus terjaga dan dibela. – MalaysiaGazette