LANGKAWI – Pusat akuarium, Under Water World (UWW), bersedia menerima kedatangan pelawat apabila Langkawi dibuka semula di bawah program gelembung pelancongan, mulai esok.
Pengurus Besarnya, Noraini Jumaat berkata, pihaknya berharap pembukaan semula itu mampu merancakkan kembali sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut, sekali gus mampu membawa keluar Langkawi daripada kelesuan industri yang dihadapi sejak hampir dua tahun.
Jelas beliau, apa yang penting, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa dititikberatkan bagi mengelakkan penularan semula wabak Covid-19.
“Kami amat teruja dengan pembukaan semula gelembung pelancong pertama dan telah membuat persiapan teliti dari segi pameran dan SOP.
“Kami sentiasa konsisten dalam menyelenggara setiap hari kerana memiliki hidupan air dan menambah baiknya sepanjang masa,” katanya ketika ditemui selepas lawatan media di sini hari.
Lawatan itu sempena gimik yang akan dilakukan apabila penyelam skuba berada di dalam air bersama ikan dengan memegang play card berbunyi Selamat Datang Ke Langkawi.
Mengulas lanjut, Noraini memberitahu, pihaknya turut menitik berat SOP yang akan dilaksanakan bermula esok.
Kata beliau, antaranya menghadkan seramai 300 pengunjung dalam satu masa bagi menjaga penjarakan sosial
“Kami juga melakukan operasi sanitasi setiap tiga jam pada waktu pagi, tengahari dan malam.
“Pada masa sama, sempena gelembung pelancongan ini, kami turut memperkenalkan pakej tiket istimewa.
“Pengunjung digalakkan membeli di atas talian bagi mengelakkan terdapat sentuhan di kaunter tiket.
“Pakej yang ditawarkan adalah RM29 untuk dewasa dan RM23 bagi kanak-kanak.
“Bagi yang membeli di kaunter tiket, harganya adalah RM36 untuk dewasa dan RM26 bagi kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette