JOHOR BAHRU – Walaupun negara masih berdepan pendemik Covid-19, ia bukan alasan untuk menyambut sambutan Hari Malaysia sebagai tanda cintakan negara.
Namun sambutan kali ini dilakukan dalam norma baharu dengan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melakukannya dengan cara tersendiri.
Bagi PPV Mega Midvalley Southkey, di sini, para sukarelawan mengadakan tarian zapin untuk menceriakan sambutan Hari Malaysia secara sederhana.
Penyelaras PPV Mega Midvalley, Mahdhir Malham berkata, 20 petugas sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) menyambut penerima vaksin dengan tarian budaya rakyat negeri itu.
“Sepanjang hari ini, lagu bersifat patriotik dan semangat cintakan negara akan dipasang di PPV ini sebagai suntikan semangat kepada penerima vaksin dan petugas.
“Bukan itu sahaja, lebih 70 petugas sukarelawan MyVac dan juga petugas kesihatan pelbagai kaum yang berada di sini turut mengenakan pakaian tradisional termasuk baju kurung, kebaya, baju melayu, sari, kurta, cheongsam serta samfoo,” katanya ketiak ditemui hari ini.
Tambah beliau, pembukaan PPV pada pagi ini dimulakan dengan lagu Negaraku dan lagu Bangsa Johor sebelum tarian zapin dipersembahkan.
Menurutnya, tepukan gemuruh yang terima dari penerima vaksin menyuntik semangat dan perpaduan kaum.
“Kita tidak mahu pendemik ini menghalang keceriaan dan semangat sambutan Hari Malaysia.
Senyuman setiap petugas dan penerima vaksin amat bermakna kepada kami,” ujarnya.
Sementara itu, petugas sukarelawan MyVac, D. Indumathi berkata, sempena Hari Malaysia dia mengenakan baju kurung moden yang dipinjam dari rakannya.
Tambah beliau, mengenakan pakaian tradisi bersama rakan-rakan lain pelbagai agama dan bangsa menjadikan dia berasa lebih bersemangat menyambut Hari Malaysia.
“Saya berbangga mengenakan pakaian kaum Melayu, seronok datang bertugas hari ini, apabila rakan sukarelawan lain juga mengenakan pakaian tradisi India iaitu sari.
“Saya berharap perpaduan ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, sukarelawan MyVac, Cynthia Fong, 23, bersyukur beliau dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.
Menururtnya, di PPV itu petugasnya saling membantu tidak kira kaum.
“Saya bersyukur dapat menyambut Hari Malaysia bersama rakan petugas di PPV ini, suasana lebih ceria dan bersemangat berbanding hari lain,” jelasnya.
Sejak dibuka pada Julai tahun lalu, PPV Mega Midvalley Southkey memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada kira-kira 225,000 orang dan dijangka 1,500 orang akan menerima vaksin di situ pada hari ini. – MalaysiaGazette