
KUALA LUMPUR – Angka korban akibat jangkitan Covid-19 bertambah lagi dengan sebanyak 422 kes dilaporkan hari ini di seluruh negara setakat jam 12 tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia di negara ini akibat wabak tersebut iaitu 22,009 kes.
Menurutnya, kes yang dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) turut tinggi iaitu 1,222 manakala 710 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
Terdahulu, Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 18,815 kes positif baharu Covid-19 dikesan diseluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 18,808 kes merupakan penularan tempatan manakala tujuh lagi kes import.
Noor Hisham berkata, kes sembuh baharu hari ini merekodkan jumlah sebanyak 16,939 kes menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih kini sebanyak 1,800,278 kes.
Berdasarkan perincian Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, 222 daripadanya adalah dalam kategori tiga, empat dan lima manakala 18,593 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua. – MalaysiaGazette