KUALA LUMPUR – Seorang jutawan dikenali sebagai ‘Dato Ken’ yang pernah ditangkap sebelum ini selepas didapati menjadi dalang judi online, perlombongan bitcoin dan syarikat pinjaman wang tanpa lesen akan didakwa di Mahkamah Selayang esok.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berumur 40 tahun itu akan didakwa bersama isterinya selepas polis berjaya mendapatkan kebenaran daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam kes ini.
“Kita akan membawa kedua-dua suspek ke Mahkamah Majistret Selayang, Gombak pada hari esok bersamaan 17 September 2021 jam 9.30 pagi untuk pertuduhan.
“‘Dato Ken’ akan berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1952 manakala isterinya akan menghadapi satu pertuduhan juga di bawah seksyen yang sama,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenainya.
Pada 14 Ogos yang lalu sindiket ‘Dato Ken’ yang berkenaan berjaya ditumpaskan polis.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kegiatan haram lelaki yang berpendapatan jutaan ringgit termasuk memiliki 14 unit kereta mewah dan 14 rumah banglo akhirnya terbongkar.
BACA ARTIKEL BERKAITAN:
Suspek telah terlibat dalam aktiviti jenayah perjudian dalam talian, bitcoin dan peminjaman wang tanpa lesen atau ah long itu sejak tujuh tahun lalu.
Dia berusia 40 tahun dipercayai dalang utama sindiket berkenaan serta dibantu isterinya berusia 41 tahun yang telah dicekup di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos lalu.
Polis turut menahan 13 lagi individu disyaki ahli sindiket haram yang sama pada 6 Julai lalu dalam serbuan berasingan di sekitar Rawang dan Gombak.
“Hasil siasatan polis mendapati lelaki berkenaan memperoleh segala kemewahan itu dengan menjalankan kegiatan haram dan kesemua 13 suspek itu disyaki pekerja mereka dan ditahan di empat buah rumah di Country Homes, Rawang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, semua 13 suspek berusia 17 tahun hingga 40 tahun itu.
Mereka meraih pendapatan antara RM2,500 dan RM8,000 sebulan mengikut peranan dan jawatan masing-masing dalam sindiket berkenaan.
Mereka sudah dituduh pada 9 Julai lalu mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di Mahkamah Selayang,” kata Arjunaidi.- MalaysiaGazette