JOHOR BAHRU – Keadaan dua beradik yang hidup serba kekurangan serta menetap dalam rumah yang uzur menarik perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar apabila mereka dikurniakan bantuan bagi membina semula kediaman yang telah usang.
Menerusi perkongsian pada laman rasmi Facebook, baginda berkenan mengurniakan bantuan membina semula kediaman dua beradik, Tan Lai Ho, 65, dan abangnya, Tan Lai Siang, 67 di Kampung Perigi Acheh, Masai dekat sini..
Rumah papan yang dihuni mereka sejak lahir dikatakan hampir roboh kerana dimakan anai-anai.
Lebih menyedihkan apabila dibasahi air sewaktu hujan disebabkan atap berlubang.
Lai Ho berkata, abangnya menghidap penyakit glaukoma yang kritikal sehingga kedua-dua matanya kabur dan tidak berupaya untuk bekerja mencari rezeki.
“Saya bekerja sebagai pembantu tokong Cina berdekatan dengan rumah dan gaji yang diterima sekadar cukup untuk membeli barangan makanan sahaja.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Baginda Tuanku Sultan kerana sudi menghulurkan bantuan untuk membina rumah kepada kami,” katanya kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.
Sementara itu, Mejar Cina, Datuk David Wong turut meluangkan masa meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan rumah berkenaan.
Sebanyak 144 kotak makanan kurniaan Sultan Ibrahim menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) turut disampaikan kepada Ketua Kampung Perigi Acheh, Othman Adon.
Beliau turut menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi daripada Sultan Johor untuk perbelanjaan sarapan serta makanan tengah hari kepada penduduk kampung yang bakal menerima suntikan vaksin.
“Baginda sentiasa menggalakkan rakyat untuk mendapatkan vaksin untuk melindungi diri, keluarga dan juga komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette