SHAH ALAM – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu mengemaskini pangkalan data dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada mana-mana individu dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana (M40) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tercicir daripada mendapat bantuan kerajaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menerima aduan dan keluhan daripada golongan M40 mendakwa diri mereka seolah-olah dipinggirkan daripada menerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC).
“Ramai golongan T20 dan M40 hari ini jatuh ke dalam kategori B40. Hari ini mereka tertanya-tanya apakah mereka terpinggir daripada bantuan atau pakej-pakej bantuan kerajaan.
“Apakah (kelulusan BKC) bergantung kepada pangkalan data pembayar cukai atau Potongan Caruman Berjadual (PCB) mahupun mereka yang menghantar borang pengisytiharan cukai sahaja.
“Kita tak mahu dasar dan polisinya cantik, tetapi apabila berada di peringkat pelaksanaan, ia jadi masalah, tidak selaras dengan hasrat kerajaan memastikan pengagihan dan penyaluran bantuan ini sampai kepada semua pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, Asyraf mengadakan pertemuan hampir dua jam bersama Ketua Pengarah Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah; Pengarah Jabatan Operasi Cukai Datuk Adenan Che Ismail serta Pengarah Jabatan Khidmat Korporat, Hishamudin Mohamed.
Pertemuan itu memfokuskan empat dari 10 Tuntutan Rakyat berkaitan LHDN termasuk mekasnisme penyaluran bantuan melibatkan BKC, Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Geran Khas Prihatin (GKP), proses rayuan permohonan bantuan serta langkah LHDN mengemaskini data pembayar cukai terkini.
Asyraf juga mengulangi pendiriannya bahawa 10 tuntutan rakyat bukannya retorik dan cuba mengaitkan sentimen tertentu, apatah lagi selepas terbentuknya kerajaan baharu sejak 26 Ogos lalu, sebaliknya ia adalah komitmen sayap UMNO itu membela nasib rakyat.
“Ada empat tuntutan terkait dengan LHDN terutamanya dalam konteks nak mempermudahkan rayuan-rayuan bagi mereka yang gagal mendapatkan bantuan ini.
“Pertemuan kami semalam untuk menyuarakan perkara-perkara yang sering disampaikan rakyat kepada Pergerakan Pemuda UMNO.
“Kita bukan hanya bercakap dan memainkan sentimen, tidak. Pergerakan Pemuda UMNO akan sentiasa follow up dan follow through sehingga apa yang kita tuntut bagi pihak rakyat ini dapat direalisasikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette