Home Nasional Harapan tinggi buat Langkawi – Nancy

Harapan tinggi buat Langkawi – Nancy

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri

LANGKAWI – Pembukaan pulau peranginan lain bergantung kepada hasil pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan domestik di Langkawi yang bermula hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia mengambil kira norma baharu di pulau perangin terkenal itu selain tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP)

“Maklum balas ini kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan di Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, di sini, malam tadi.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Nancy menambah, pembukaan destinasi pelancongan lain juga akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus imuniti kelompok.

Justeru, Nancy menggesa orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke pulau ini supaya mematuhi SOP ditetapkan.

“Ia bagi memastikan agar gelembung pelancongan Langkawi kekal hijau seterusnya dapat merealisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik pada masa akan datang,” ujarnya.

Jelasnya, kementerian menaruh harapan yang tinggi kepada Langkawi kerana ia bukan sahaja akan menjadi tumpuan kepada para pelancong domestik, malah media tempatan dan antarabangsa.

“Ia memungkinkan kejayaan kepada pembukaan pelancongan antarabangsa jika travel bubble ini berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette