Home Nasional i-Citra: Pemuda UMNO temui CEO KWSP minggu depan

i-Citra: Pemuda UMNO temui CEO KWSP minggu depan

Asyraf Wajdi Dasuki menyerahkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Shah Alam.

SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan minggu hadapan bagi menuntut pengeluaran minimum i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘one off’.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah mendapat tarikh temu janji bagi pertemuan itu untuk membawa hasrat rakyat agar i-Citra ditambah baik.

“Insya-Allah dalam minggu hadapan kita akan bertemu dengan CEO KWSP untuk menbicarakan mekanisme bagaimana i-Citra ini harus kita lakukan penambahbaikan.

“Ini termasuk apa yang dihasratkan oleh rakyat supaya kita dapat RM10,000 secara one-off, bukan RM1,000 secara bulanan dan terhad sehingga RM5,000 sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri menyerahkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Shah Alam, hari ini.

Menurut Asyraf, penambahbaikan skim i-Citra itu menjadi tuntutan utama rakyat khususnya golongan T20 dan M40 yang kini jatuh ke kategori B40 selepas kehilangan pekerjaan kerana terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kita merujuk kepada kebanyakan yang mohon ini adalah mereka dalam kalangan T20 dan M20 hari ini jatuh ke peringkat B40.

“Mereka tiada pekerjaan, bergantung kepada wang simpanan. Wang mereka banyak habis kerana terpaksa membayar komitmen.

“Akhirnya sekarang mereka bergantung kepada wang Yang dicarum selama 10 hingga 20 tahun mereka sudah bekerja,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan menerusi KWSP perlu memahami keperluan semasa rakyat apatah lagi dua golongan ada masih tercicir daripada insentif kerajaan termasuk Bantuan Khas Covid-19 (BKC).

“Kita harus faham kenapa rakyat begitu mendambakan bantuan-bantuan seumpama ini atau kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.

“Jadi ini adalah antara perkara kita akan bincangkan,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf sedang berusaha mendapatkan temu janji dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi membawa hasrat rakyat itu dapat tindakan sewajarnya.

“Insya-Allah kita pun sudah minta untuk bertemu sekali lagi dengan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul.

“Insya-Allah kita akan terus memperjuangkan 10 tuntutan rakyat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette