LANGKAWI – Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kembali sibuk selepas pulau peranginan itu menjadi projek perintis gelembung pelancongan negara bermula hari ini.
Jika sebelum ini, lapangan terbang itu lengang dan sepi gara-gara hanya dua atau tiga penerbangan mendarat seharui malah ada kalanya tiada penerbangan sehari, suasana berubah menjadi meriah pada pagi ini.
Semuanya bermula apabila pesawat Malaysia Airlines yang membawa kumpulan pertama gelembung pelancongan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 10.36 pagi.
Pesawat yang membawa 159 penumbang itu berlepas dari Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.35 pagi.
Ketibaan pesawat itu disambut dengan semburan air sebagai gimik selamat datang ke pulau peranginan terkenal itu yang dibuka semula sebagai projek perintis gelembung pelancongan negara bermula hari ini.
Mereka disambut oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.
Penumpang juga dimeriahkan oleh Persatuan Pemuzik dan Buskers yang datang dari ibu negara membuat persembahan di balai ketibaan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi merupakan antara tujuh lapangan terbang di dunia yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) atas prestasinya yang cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan terbaik kepada pelanggan.
Maklum balas daripada penumpang mengenai lapangan itu diperoleh melalui Kaji Selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) suku tahun yang dijalankan setiap tahun oleh ACI sebagai penanda aras global untuk lapangan terbang dunia.
Ia telah disenaraikan dalam ACI Director-General’s Roll of Excellence berdasarkan pencapaiannya memenangi pelbagai anugerah ASQ dalam tempoh lima tahun sejak 10 tahun lepas.
Lapangan terbang itu sentiasa mendapat markah yang tinggi untuk perkhidmatan pelanggan dan memenangi anugerah ACI seperti Lapangan Terbang Terbaik Mengikut Wilayah dan Lapangan Terbang Terbaik bagi saiz (dua hingga lima juta penumpang setahun).
Sebagai pintu masuk ke salah satu destinasi percutian paling popular di negara ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dinaik taraf dan diperluaskan pada 2018 untuk menampung empat juta penumpang setahun.
Lapangan terbang itu mencatatkan 2.9 juta pergerakan penumpang pada 2019, meningkat lapan peratus daripada 2018.
Lapangan terbang itu juga telah melalui penambahbaikan yang berjaya dari segi komersial pada tahun 2019 yang meningkatkan pengalaman runcit dan sajian makanan supaya penumpang dapat menikmati pengalaman unik. – MalaysiaGazette