Home Nasional N. Sembilan jangka beralih ke fasa empat PPN dalam tempoh seminggu –...

N. Sembilan jangka beralih ke fasa empat PPN dalam tempoh seminggu – MB

Aminuddin Harun Negeri Sembilan Menteri Besar Covid-19 positive MB
Aminuddin Harun

PORT DICKSON – Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh seminggu lagi, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, ia susulan negeri itu mencapai tahap imuniti kelompok dengan lebih 90 peratus individu melengkapkan dos kedua setakat semalam, namun beberapa perkara perlu diteliti termasuk bilangan kes positif COVID-19 harian, perlu menunjukkan penurunan secara berterusan.

“Kita sekarang hanya rekodkan 170 ke 200 lebih kes COVID-19 sehari, kalau ikut kiraannya memang kita sudah layak untuk ke Fasa Empat, cuma kita diminta untuk memantau selama seminggu lagi.

“Minggu lepas memang kita telah capai sasaran itu tetapi kita diminta untuk memantau seminggu lagi, sebab banyak kes di negeri-negeri yang telah beralih fasa tetapi kes meningkat, itu yang menjadi kekhuatiran sehingga terpaksa tangguh dulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cabutan bertuah cukai taksiran Majlis Perbandaran Port Dickson di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, peralihan negeri ini daripada Fasa Dua ke Fasa Tiga mulai 4 September lepas telah memberi ruang dan peluang kepada pelbagai sektor khususnya ekonomi, perindustrian  dan pelancongan, terutama di Port Dickson dibuka dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Kita juga menyasarkan destinasi pelancongan lain akan dibenarkan  beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus. Oleh itu, saya yakin Port Dickson juga akan dibuka untuk sedikit masa lagi untuk pelancong luar negeri ini, dengan pelbagai penaiktarafan dan projek pembangunan pelancongan dilaksanakan membabitkan peruntukan lebih RM2.5 juta,” katanya.

Jelasnya, statistik kedatangan pelancong ke negeri ini pada tahun lepas mencatatkan penurunan susulan COVID-19, iaitu hanya satu juta pengunjung berbanding tahun 2019 dengan lebih 6 juta individu, yang mana Port Dickson menyumbang 70 peratus daripada kedatangan pelancong berkenaan.

“Ini bermakna seramai 627,000 individu sahaja yang datang ke Port Dickson tahun lepas apabila Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan mulai 18 Mac, dan kita berharap kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan terutama ke daerah ini pada tahun hadapan meningkat 50 peratus,” katanya. – Bernama