KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Sungai Padi, Mukim Telang, Lipis, Pahang dan Kampung Air, Beluran, Sabah bermula 19 September sehingga 2 Oktober ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu PKPD di Taman Samudera, Seri Manjung, Manjung, Perak yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 2 Oktober ini.
PKPD di kawasan sekitar pekan Padang Tengku, Mukim Gua, Lipis, Pahang yang meliputi Kampung Baru, Taman Bakti, Taman Dahlia, deretan kedai pekan Padang Tengku akan ditamatkan esok mengikut jadual.
Turut tamat esok ialah PKPD di Kampung Orang Asli Sungai Cincin, Batang Padang, Perak. – MalaysiaGazette