Home Akhbar Cina Pusat beli-belah mula hangat tetapi tak nampak trend “balas dendam”

Pusat beli-belah mula hangat tetapi tak nampak trend “balas dendam”

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah pengunjung di pusat beli-belah dijangka dapat meningkat ke 80 peratus pada suku terakhir tahun ini berbanding jumlah semasa keadaan normal.

Nanyang Siang Pau melaporkan, kunjungan ke pusat beli-belah pada masa ini adalah sekitar 40 hingga 50 peratus berbanding keadaan normal, tetapi angka tersebut dijangka akan terus meningkat.

Timbalan Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Phang Sau Lian berkata, sekitar 95 peratus kedai dalam pusat beli-belah telah beroperasi dan panggung wayang juga dibenarkan berniaga, walaupun aktiviti hiburan dan riadah tidak dibenarkan.

“Keadaan dalam kompleks beli-belah telah mula hangat secara berperingkat.

“Ketika banyak perniagaan tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini, jumlah pengunjung yang ada hanyalah 20 peratus berbanding semasa keadaan normal,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Sau Lian berkata, walaupun lebih ramai orang mengunjungi pusat beli-belah, tetapi trend belanja ala “balas dendam” tidak kelihatan.

“Saya percaya jumlah kunjungan yang lebih kuat hanya akan kelihatan pada akhir tahun menjelang musim perayaan,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan kompleks berhati-hati dan tegas dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan hanya membenarkan mereka yang lengkap menerima vaksin untuk memasuki premis. – MalaysiaGazette