Home Nasional Robina Eco Park ditutup 5 hari ekoran pengunjung gagal patuh SOP

Robina Eco Park ditutup 5 hari ekoran pengunjung gagal patuh SOP

Pemantauan pihak polis semalam mendapati kawasan riadah Robina Eco Park dibanjiri pengunjung.

BUTTERWORTH – Selepas empangan Mengkuang, kawasan riadah Robina Eco Park di Teluk Air Tawar, di sini, menjadi lokasi kedua yang ditutup kerajaan negeri Pulau Pinang susulan pengunjung gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, lokasi riadah itu ditutup selama lima hari bermula esok hingga 22 September ini.

Rozali.

Jelas beliau, tindakan itu dibuat atas nasihat Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara kerana ketidakpatuhan pengunjung ke atas SOP yang ditetapkan.

“Penutupan ini dibuat ekoran kesukaran untuk mengawal kehadiran pengunjung terlalu ramai yang dianggarkan 700 hingga 1,000 orang pada satu masa dan boleh ia dijangka melebihi pada waktu petang serta hari minggu serta cuti umum.

“Tindakan ini juga bertujuan sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung penularan wabak Covid- 19 dalam kalangan pengunjung.

Pengunjung didakwa gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Sehubungan itu, MBSP menyeru semua pengunjung dan orang awam yang mengunjungi taman rekreasi ini atau mana-mana taman rekreasi di seluruh Seberang Perai terutamanya seliaan MBSP agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar usaha kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini berjaya dilaksanakan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, cadangan penutupan lokasi berkenaan dimaklumkan kepada MBSP hari ini selepas pihaknya menjalankan pemantauan semalam.

“Berdasarkan pemantauan itu, kita dapati 1,000 hingga 2,000 pengunjung membanjiri kawasan Pantai Robina itu selain gagal memastikan penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka serta ada dalam kalangan mereka belum lengkap divaksin.

Noorzainy.

“Selain itu, cadangan sebulat suara oleh polis, Kementerian Kesihatan dan MBSP untuk penutupan pusat rekreasi itu juga wajar memandangkan ia berada di kawasan zon merah,” kata beliau kepada MalaysiaGazette hari ini.

MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan, Polis Pulau Pinang bercadang menutup premis serta kawasan riadah yang menjadi tumpuan sekiranya orang ramai masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, langkah itu diambil susulan pemantauan polis pada hujung minggu lepas mendapati terlampau ramai pengunjung di beberapa lokasi tumpuan rekreasi negeri itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Negara kecil sekangkang kera terlampau ramai setelah anugerah kerakyatan tempatan kepada para talibarut dan tentera PKM yang ditubuhkan dan dibiayai oleh Tanah Besar Komunis Cina sehingga 1989. Selamat bergembira dengan sambutan hari tentera setiap hari okay ke?

Comments are closed.