SYDNEY- Kerajaan Australia akan menjalankan ujian percubaan terhadap sistem kuarantin di rumah kepada pengembara antarabangsa yang lengkap divaksin yang tiba di Sydney.
Perdana Menterinya, Scott Morrison berkata, langkah itu sejajar dengan hasrat Australia untuk membuka semula sempadannya meskipun kes-kes Covid-19 masih tinggi.
Australia menutup sempadan antarabangsanya sejak Mac tahun lepas bagi mengawal pandemik.
Kebenaran memasuki negara itu hanya diberikan kepada warga negara serta penduduk tetap yang mana mereka diwajibkan menjalani kuarantin di hotel selama dua minggu atas tanggungan sendiri.
“Ini merupakan langkah seterusnya dalam perancangan kita untuk membuka semula sempadan dengan selamat serta memastikan ianya terus selamat,” kata Morris sambil menambah, ujian itu akan menjadi standard kepada “hidup bersama Covid-19”.
Sydney yang menerima lebih ramai kepulangan penduduk tetap dari luar negara berbanding bandar-bandar lain di Australia akan menjalankan ujian percubaan kuarantin rumah selama tujuh hari hujung bulan ini.
Pihak berkuasa akan menggunakan aplikasi telefon bimbit dan teknologi pengecaman wajah untuk memantau tahap kepatuhan 175 individu yang menyertai program percubaan itu.
Individu-individu berkenaan terdiri daripada penduduk tetap, bukan penduduk tetap serta kru kabin syarikat penerbangan Qantas.- Agensi