MUAR – Dua individu ditemui selamat selepas lebih lima jam tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Mor di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II, Shahrizal Mokhtar berkata, kedua-dua mangsa ditemui kira-kira pukul 10 malam selepas mula mendaki bukit berkenaan pada jam 5.30 petang.
“Mangsa yang diselamatkan adalah seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang wanita berusia 24 tahun serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pihak kami menerima laporan kecemasan berhubung kejadian ini pukul 9.05 malam dipercayai selepas kedua-dua mangsa berjaya menghubungi bomba kerana mempunyai rangkaian telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kedua-dua mangsa telah ditemui pada titik temu (checkpoint 10) laluan menaiki bukit.
Shahrizal percaya punca kejadian disebabkan mangsa keliru menggunakan laluan yang sepatutnya selain keadaan cuaca gelap ketika itu.
“Operasi menyelamat melibatkan sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota. Kedua-dua mabgsa ditemui selamat selepas lima jam sesat.
“Kami membuat pencarian di atas bukit dan mangsa berjaya ditemui. Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan telah diserahkan kepada pihak polis.
“Kawasan memang sedikit mengelirukan kerana terdapat banyak laluan tetapi jika biasa jarak untuk mendaki bukit ini adalah kira-kira dua kilometer dari bawah ke puncak,” katanya.
Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pukul 11.22 malam,” katanya.-MalaysiaGazette