Home Nasional 1,665 kekosongan jawatan di JBPM

1,665 kekosongan jawatan di JBPM

Datuk Sri Dr. Ismail  Abd. Muttalib (tengah) menyampaikan hadiah pertadingan Jalur Gilang peringkat JBPM Negeri Johor kepada anggota bomba di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 1,665 kekosongan jawatan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara perlu diisi segera bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, kekosongan jawatan itu melibatkan pengurusan tertinggi dan profesional serta kumpulan pelaksana.

Walaupun bukan satu keperluan mendesak ketika ini, jelas beliau, jawatan tersebut perlu diisi kerana JBPM merupakan satu perkhidmatan penting.

“Setakat ini, terdapat sebanyak 55 kekosongan daripada 490 perjawatan bagi pengurusan tertinggi dan profesional, manakala sebanyak 1,610 kekosongan daripada 14,026 perjawatan melibatkan kumpulan pelaksana.

“Kita masih kekurangan anggota kerana proses pengambilan sedikit perlahan ketika ini akibat pandemik Covid-19. InshaAllah kita akan cari jalan mengisi kekosongan kerana tidak mahu perkhidmatan tergendala atau terencat kerana kekurangan kakitangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Johor, di Kangkar Tebrau, di sini, hari ini.

Menerusi pengisian jawatan itu, katanya, JBPM ia diharap dapat memberi khidmat terbaik terutama meningkatkan tempoh masa bertindak mengikut standard antarabangsa.

Jelas beliau, selain itu, 30 peratus perjawatan di JBPM disasarkan diisi oleh wanita kerana terdapat bidang kerja yang memerlukan perkhidmatan golongan itu.

Sebagai contoh katanya, apabila berlaku insiden yang menyebabkan mangsa wanita berdepan tekanan psikologi, keperibadian dan personaliti anggota wanita boleh membantu menenangkan mangsa.

“Kita akan lihat dimana tempat kelebihan mereka itu diperlukan dan mereka akan bertugas di samping anggota lelaki, namun buat masa ini sasaran itu masih belum dicapai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis memberitahu, terdapat 174 kekosongan melibatkan pelbagai jawatan di peringkat negeri dan berharap kekosongan itu akan dapat diisi dengan segera.

“Kekosongan ini turut melibatkan anggota yang memikul tanggungjawab selaku Ketua Balai dan Penolong Ketua Balai, jadi kita berharap ia akan dapat dipenuhi bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberi kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette