Home Sukan Arsenal menang lepas Odegaard sempurnakan sepakan percuma

Arsenal menang lepas Odegaard sempurnakan sepakan percuma

Odegaard meraikan jaringannya selepas menyempurnakan sepakan percuma yang diberikan oleh pengadil

BURNLEY – Pemain tengah Norway, Martin Odegaard menyempurnakan sepakan percuma yang membolehkan Arsenal melakar kemenangan ke atas Burnley.

Meskipun skuad bimbingan Mikel Arteta hanya meraih kemenangan tipis 1-0 namun ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut pada saingan Liga Perdana itu.

Rembatan Odegaard dari jarak 23 meter menerjah gawang Burnley pada minit ke-30 itu merupakan gol pertamanya sejak menyertai Arsenal secara kekal dari Real Madrid, Ogos lalu.

Gunners merekodkan permulaan terburuk kempen liga dalam tempoh 67 tahun apabila tewas ketiga-tiga perlawanan pertama tanpa menjaringkan sebarang gol.

Bagaimanapun kemenangan 1-0 ke atas Norwich minggu lalu berjaya menyerap semula tekanan yang membelenggu Arteta dan Arsenal meneruskan rentak kemenangan itu ketika bertemu Burnley.

Thomas Partey melakukan penampilan pertama musim ini dengan Arteta memberi peluang kepada pemain Ghana itu serta Emile Smith Rowe sebelum menggantikan kedua-duanya dengan Ainsley Maitland-Niles serta Albert Sambi Lokonga.

Penyerang Burnley, Ashley Barnes dan Chris Wood sering mengancam pertahanan Arsenal namun tidak dapat melakukan cubaan yang tepat.

Gabriel dan Takehiro Tomiyasu cemerlang menafikan beberapa cubaan jarak dekat Burnley ketika pasukan pelawat masih bergelut meskipun mendominasi perlawanan sebelum gol Odegaard melegakan Arsenal.

asih kemarau kemenangan, Burnley kekal di zon penyingkiran apabila hanya mampu mengutip satu mata daripada lima perlawanan liga dan tidak pernah menang 13 perlawanan terakhir di halaman sendiri. – BBC