KUALA LUMPUR – Dua Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan esok, yang mana kedua-duanya di Pahang.
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), dua PKPD itu dilaksanakan di Kampung Orang Asli Sungai Roi, Jerantut dan PKPD Kampung Orang Asli Ulu Pareh, Bentong.
“Dua PKPD itu bermula 20 September ini dan berakhir 3 Oktober depan,” menurut kenyataan Ketua Pengarahnya, Datuk Rodzi Md. Saad.
Dalam pada itu, satu PKPD dilanjutkan sehingga 4 Oktober depan iaitu PKPD Taman Pantai Lok Kawi, Papar Sabah.
Rodzi menambah, lima PKPD ditamatkan bermula esok dengan empat di Sabah dan satu di Pontian, Johor.
PKPD Kampung Nelayan Benut, Pontian dilaksanakan pada 31 Ogos lalu, sementara PKPD Kampung Buanog Matunggong Kudat pada 24 Ogos lalu.
Tiga lagi PKPD yang ditamatkan adalah PKPD Kampung Tetabuan Beluran, PKPD Kampung Magatang, Keningau dan PKPD Kampung Kilanas, Ranau yang dilaksanakan pada 7 September lalu. – MalaysiaGazette