SHAH ALAM – Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Wan Indera Putra Ahmad menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, dekat sini, pada jam 5.30 pagi tadi kerana komplikasi jantung dialami sejak empat tahun lalu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian itu, Mohd Fahmy Zakariah, berkata Allahyarham yang berusia 49 tahun, meninggalkan seorang isteri, Hawa Omar, 63, serta seorang anak, Wan Natasha Farhana, 17.
Mohd Fahmy berkata, jenazah Allahyarham dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pagi tadi untuk diperiksa.
“Jenazah kemudian dimandi dan dikafan sebelum disembahyangkan di Surau Al Abrar Denai Alam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Aman Kampung Melayu Subang sebelum waktu Asar tadi. – MalaysiaGazette