Home Nasional Pembinaan langgar peraturan antara faktor kejadian tanah runtuh Kemensah Heights

Pembinaan langgar peraturan antara faktor kejadian tanah runtuh Kemensah Heights

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semasa meninjau lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pembinaan tanpa izin atau pembinaan haram merupakan antara faktor penyumbang kepada berlakunya kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, di sini, kelmarin.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setiap pembinaan yang dijalankan di kawasan cerun yang berisiko tinggi seharusnya mematuhi garis panduan khusus di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya lihat tadi ada pembinaan yang pada pemerhatian saya mungkin melanggar peraturan yang ditetapkan, oleh sebab itu berlaku kejadian ini. Kalau diikut segala kriteria yang ditetapkan kejadian seperti ini tidak akan berlaku.

“Pembinaan tanpa izin atau pembinaan haram dan sebagainya, tapi kita faham mungkin atas keperluan misalnya keluarga semakin ramai, kita tengok tadi ada satu kediaman di atas sana yang dikatakan ada lima keluarga tinggal di situ, apa pun kita perlu ikut peraturan dan undang-undang,” katanya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Ketua Pengarah Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia, Hisamuddin Termidi (kiri) semasa meninjau lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2021.

Terdahulu Takiyuddin meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau kesan kerosakan di lokasi bencana tanah runtuh di sekitar kawasan perumahan Kemensah Heights.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Hisamuddin Termidi.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menasihati orang ramai supaya mematuhi setiap garis panduan yang telah dikeluarkan ketika menjalankan sebarang pembinaan bangunan terutamanya di kawasan yang mempunyai cerun berisiko tinggi.

“Semasa pembinaan memang akan ikut undang-undang tetapi selepas pembinaan siap, mungkin ada extension dan sebagainya, itulah yang kadang-kadang di luar pemantauan pihak berkuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, JMG sedang menjalankan pemeriksaan serta kajian dengan lebih teliti melibatkan pemetaan geologi dan siasatan tapak.

Jelas Takiyuddin, jabatan itu dijangka menyediakan laporan bagi tahap penilaian keselamatan di kawasan tersebut pada Selasa.

“Tanggungjawab membuat kajian tanah sedang dijalankan JMG terutamanya JMG Selangor, tujuan kajian dalam tempoh tiga hari bermula kelmarin (Jumaat),” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, seramai 103 penduduk di Jalan Kemensah Heights terpaksa dipindahkan susulan kejadian runtuhan tanah yang berlaku.

Difahamkan mereka yang dipindahkan adalah penduduk di 16 unit rumah bandar (town house) di Jalan BKI-2 dan lot banglo di Jalan 7, Kemensah Heights. – MalaysiaGazette