KUANTAN – Polis memilih untuk terus menasihati masyarakat dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara di Pahang terus dipatuhi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, tiada sebarang kompaun dikeluarkan sehingga kini dan pemantauan secara konsisten masih diteruskan terutama di lokasi tumpuan ramai.
“Tiada lagi sebarang kompaun dikeluarkan dalam pelanggaran SOP, bagaimanapun pemantauan terus dilakukan,” kata Rizal.
Tambahnya, polis mengutamakan pendekatan budi bicara dalam mendidik masyarakat supaya lebih memahami SOP yang perlu dipatuhi dalam fasa kedua PPN.
Terdahulu beliau menggunakan pembesar suara mudah alih di lokasi-lokasi orang ramai bagi menerangkan situasi pandemik agar mematuhi SOP.
Antara tumpuan orang ramai pada hujung minggu di Kuantan ialah eluk Chempedak, Pantai Sepat, Pantai Chempaka, Sungai Lembing, Air Terjun Sungai Pandan, dan sekitar Cherating.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pihak polis menyemak pendaftaran masuk dan notis lengkap vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera para pengunjung di ruang pintu masuk dan parkir kenderaan awam.
“Semua perlu jelas, kelonggaran diberikan kepada mereka yang telah cukup dua dos vaksin dan perlu memastikan jarak fizikal dan pemakaian pelitup muka setiap masa,” katanya.
Jelas Rizal, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat di daerah ini. – MalaysiaGazette