Home Nasional PTPB akan diperluaskan ke negeri lain

PTPB akan diperluaskan ke negeri lain

Dr Nik Muhammad Zawawi (depan) bersama Zamri (tengah) dan Mohd Kabir ketika merasmikan musim menuai program pengurusan tanaman padi bersepadu model NAFAS- Petronas di Pendang, Kedah hari ini.

PENDANG –  Program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) – Petronas akan diperluaskan di beberapa negeri lain bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi negara serta pendapatan golongan petani.

Antara negeri yang dikenal pasti termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis serta Pulau Pinang dengan keluasan 5,000 hektar secara keseluruhan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pendekatan itu diambil susulan keperluan bekalan padi bagi pemprosesan beras domestik dijangka terus meningkat, sekali gus trend pengimportan beras dari luar negara perlu dikurangkan bagi tujuan sekuriti bekalan makanan negara.

Dr. Nik Muhammad Zawawi.

Jelas beliau, kadar Tahap Sara Diri (Self Sufficiency Level atau SSL) beras negara ketika ini berada pada paras 70 peratus dan menyebabkan negara masih bergantung kepada bekalan beras import terutamanya daripada negara Vietnam, Thailand, Kemboja, India dan Pakistan.

Sehubungan itu, kata beliau, kerjasama pihak industri padi dan beras seperti projek PTPB sudah pasti dapat meningkatkan produktiviti padi negara.

“Kita yakin pelaksanaan PTPB ini dapat meningkatkan hasil padi bagi setiap hektar yang sebelum ini purata adalah 2.95 tan metrik per hektar dengan sasaran tidak kurang enam tan metrik per hektar dan ini sekali gus dapat meningkatkan hasil pendapatan dan ekonomi pesawah.

“Selain itu, teknik tanaman padi secara sistematik serta bimbingan tenaga mahir atau Paddy Expert yang akan menjadi rujukan kepada pesawah juga dapat menarik minat peladang muda dengan menggunakan aplikasi teknologi terkini tanaman padi seperti drone.

“Saya juga yakin NAFAS – Petronas dengan kerjasama rakan strategik – Pertubuhan Peladang Kawasan, Advansia Sdn Bhd, Thirty Three Management, Antah Bumimedic Sdn Bhd dan Braintree Technologies Sdn Bhd projek ini dapat diperbesarkan lagi keluasan tapak penanaman padi untuk musim akan datang nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Musim Menuai PTPB NAFAS-Petronas di Kampung Namdam di sini, hari ini.

Nik Muhammad Zawawi merasmikan musim menuai program pengurusan tanaman padi bersepadu model NAFAS- Petronas di Pendang, Kedah hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Azah Hanim Ahmad, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob dan Ketua Pegawai Pembuatan Petronas Chemical Group, Mohd Kabir Noordin.

Program PTPB NAFAS-Petronas itu merupakan projek sulung melibatkan 68 orang pesawah – ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Kubur Panjang dengan keluasan 70 hektar kawasan penanaman padi yang bermula musim satu penanaman pada April lalu.

Mengulas lanjut, Dr. Nik Muhammad Zawawi berkata, pelaksanaan PTPB dengan modul tanaman sawah berskala besar adalah tepat ketika ini bagi menjadikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif serta berdaya saing di sepanjang rantaian nilai industri.

“Saya yakin, dengan pelaksanaan modul ini, jurang di sepanjang rantaian penghasilan beras negara juga dapat dirapatkan dan seterusnya memberi peluang kepada pemain- pemain industri untuk bergerak dengan lebih efisien di dalam sektor padi dan beras.

“Secara tidak langsung ianya dapat merubah landskap industri padi dan beras negara serta mencapai matlamat Kerajaan dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negara sepanjang masa.

“Malah, saya melihat kerjasama strategik seumpama ini, akan membuka peluang kepada generasi muda menceburi sektor perniagaan dalam mana-mana peringkat rantaian nilai industri padi dan beras negara,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Dr. Nik Muhammad Zawawi berkata, MAFI juga akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dalam masa terdekat.

“DAN2.0 itu akan memberi penekanan khusus terhadap strategi pemodenan dan pertanian pintar kerana ianya merupakan aspirasi utama yang perlu dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu dari tahun 2021 hingga 2030,” jelas beliau. – MalaysiaGazette