KUALA LUMPUR – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2021 akan dilaksanakan pada 21, 22 dan 23 September ini.
Lembaga Peperiksaan berkata, seramai 8,077 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU tahun 2021 di 201 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPMU tahun 2021, seramai 1,568 petugas peperiksaan telah dilantik.
”Lembaga Peperiksaan (LP) ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
”Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my,” katanya sambil mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah yang terkini dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19.
Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my – MalaysiaGazette