Home Sukan Bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Ken Worden meninggal dunia

Bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Ken Worden meninggal dunia

Bekas jurulatih kebangsaan Ken Worden meninggal dunia.

KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Ken Worden dilaporkan meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Berita itu dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman Twitter.

Worden atau nama penuhnya Kenneth Joseph Worden dilahirkan pada 2 Februari 1943 di Preston, England.

Kariernya menyerlah sebagai pemain dan jurulatih di Australia.

Worden dilantik sebagai jurulatih pasukan Selangor pada 1991 dan membantu pasukan itu muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

Beliau kemudian telah diberikan tanggungjawab besar apabila dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan selama dua tahun bagi menggantikan Rahim Abdullah pada Januari 1992 sehingga penghujung 1993.

Sepanjang tempoh itu, pasukan kebangsaan menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam dan Piala Jakartaraya pada 1992 serta Pesta Bola Merdeka pada tahun 1993.

Bagaimanapun skuad negara yang membariskan pemain berkaliber seperti Zainal Abidin Hassan, Mubin Mokhtar, Khairul Azman Mohamad, K. Gunalan, Azizol Abu Haniffah, Malek Rahman, Dollah Salleh dan Azman Adnan tewas pada pra-Piala Dunia dan Sukan SEA Singapura 1993. – MalaysiaGazette