KUALA LUMPUR – Kelongggaran rentas negeri antara agenda yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mesyuarat tersebut akan memfokuskan tentang pengurangan kepada 10 Prosedur Operasi Standard (SOP) berbanding 181 yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Pengurangan SOP perlu diperincikan untuk memastikan tiada kekeliruan akan berlaku, katanya.
“Yang 181 kepada 10 SOP ini merujuk kepada apa yang telah kita umum sebelum ini. Sepatutnya telah dimaklumkan kepada orang ramai tapi kita faham banyak SOP mengelirukan jadi usaha kita adalah memudahkan supaya orang ramai faham apa yang telah diputuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jiddin di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn (SMK DTHO), Kem Kementah selepas melawat Program Vaksinasi COVID-19 Back To School peringkat Kementerian Pertahanan hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, situasi fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri tertentu antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memuktamadkan kelonggaran rentas negeri.
Sehubungan itu, sebarang syor berkenaan kelonggaran itu akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 untuk dimuktamadkan.
“Apa keputusan yang kita perlu buat berhubung kait ke Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tapi syornya datang dari menteri-menteri bertanggungjawab daripada aektor-sektor tertentu untuk dipertimbangkan,” tambahnya.
Hishammuddin berkata, Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 esok juga akan menyentuh tentang projek rintis program gelembung pelancongan Langkawi yang bermula 16 September lalu dan aktiviti-aktiviti yang bakal melibatkan Kementeria Belia dan Sukan (KBS).
Selain kementeriannya, antara yang dijangka hadir dalam mesyuarat itu esok adalah wakil Kementerian Pelancongan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).-MalaysiaGazette