KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dicadangkan supaya menurunkan kuasa kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) untuk menentukan sekolah di luar bandar dan pedalaman boleh dibuka atau ditutup.
Cadangan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni selepas beliau melihat kegagalan KPM dalam menguruskan persekolahan di kawasan luar bandar dan pedalaman terutama di Sarawak.
Beliau memberi contoh, dalam Parlimen Sibuti terdapat sekurang-kurangnya 14 sekolah yang mempunyai bawah 50 pelajar.
Katanya, kebanyakan sekolah itu terletak berhampiran rumah panjang yang dihuni oleh semua pelajar berkenaan.
“Kalau guru besar berada dalam sekolah, memanggil pelajar masuk kelas, nescaya semua mereka akan dengar. Maksud saya, dekatnya sekolah dengan kediaman pelajar.
“Tetapi, disebabkan kegagalan KPM untuk menyelaras sesi persekolahan, semua pelajar terpaksa keluar jauh dari kediaman mendapatkan akses internet semata-mata untuk ikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Tidakkah ini pelik? Pelajar tinggal dekat dengan sekolah, tetapi untuk belajar, mereka perlu masuk kebun, mendaki bukit semata-mata nak dapatkan akses internet kerana nak belajar,” katanya pada sesi perbahasan di sidang Parlimen, petang ini.
Menurut Lukanisman, sebagai Ahli Parlimen, beliau sendiri tidak berpuas hati dengan dasar KPM iaitu tidak membenarkan ahli politik terlibat dalam pendidikan, sedangkan mereka adalah pengubal dasar.
Serentak itu, katanya, setiap bantuan yang disampaikan oleh beliau selaku Ahli Parlimen untuk pelajar tidak dapat diselaraskan kerana pendirian KPM bahawa tiada penglibatan ahli politik dalam pendidikan.
“Cabaran kita sebagai Ahli Parlimen ialah keinginan untuk membantu sekolah sepanjang pandemik Covid-19, tetapi disebabkan pendirian KPM itu, saya tidak dapat berbuat demikian.
“KPM harus sedar, melalui perbahasan Ahli Parlimen berteraskan sains dan data, subjek pendidikan merupakan topik yang sangat banyak diperkatakan. Maka, saya berharap KPM dapat mewujudkan suasana yang sesuai untuk Ahli Parlimen membantu sekolah ketika Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, KPM antara kementerian yang banyak berdepan masalah terutama berkaitan guru yang dibebankan dengan tugas tidak sepatutnya.
Katanya, beliau meneliti dan melihat banyak posting guru serta warga pendidik melalui laman sosial mengeluh penat dengan tugas yang bemacam-macam terutama dalam penghantaran data sekolah kepada PPD dan pegawai pendidikan.
Malah, beliau terharu ada guru yang sanggup mencetak modul pelajaran dan menghantarnya sendiri kepada pelajar serta ibu bapa untuk tindakan. – MalaysiaGazette